Wira Kuala Besut diserang strok

Wira Kuala Besut diserang strok

am@hmetro.com.my

Besut: Pernah digelar sebagai ‘budak ajaib’ atas keberaniannya membantu mencari mangsa lemas di dasar sungai jeti kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besut lima tahun lalu, kini wira Kuala Besut ini diserang strok.

Mohamad Najmi Daud, 37, yang lebih mesra dengan panggilan Awie ini juga adalah seorang pemuda yang berstatus orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

Najmi berkata, kali pertama dia mula membantu mencari mangsa lemas seorang kanak-kanak pada tahun 1998 diikuti dengan kes mangsa lemas lelaki dewasa dua tahun selepas itu.

“Saya mengalami kecacatan di mata sebelah kanan sejak lahir dan hanya bergantung kepada mata kiri untuk melihat.

“Kemahiran menyelam ke dasar sungai tanpa memakai alat bantuan pernafasan serta kaca mata menyelam bermula sejak usia remaja.

“Saya pernah membantu ramai orang termasuk pelancong mencari barang berharga yang sering terjatuh dalam sungai seperti telefon bimbit, barang kemas, kunci kereta di kawasan jeti pelancong Kuala Besut,” katanya di Kampung Timor, Kuala Besut, di sini, kelmarin.

Katanya, dia mula diserang strok bahagian kanan bermula dari tangan hingga ke kaki pada 1 Disember tahun lalu.

“Serangan datang tiba-tiba, tangan tidak boleh angkat seperti biasa dan keluarga menghantar saya ke Hospital Besut untuk dapatkan rawatan selama dua hari.

“Selang sebulan kemudian serangan kali kedua datang di tempat sama dan terpaksa ditahan di wad selama satu hari,” katanya.

Menurutnya, selepas serangan strok dia yang sebelum ini bekerja sebagai mengambil upah mengangkat tidak lagi mampu bekerja menyara keluarga kerana sukar berdiri lama.

“Saya mendapat elaun pekerja kurang upaya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan.

“Sekarang ini saya perlu menjalani rawatan susulan dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu serta perlu mengambil ubat yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu ibunya, Noriah Ali, 59, anak kedua daripada lima beradik itu seorang yang kuat bekerja dan suka membantu orang.

“Beberapa hari sebelum terkena strok dia masih tetap membantu orang dengan menyelam mencari beg duit mangsa yang terjatuh ke dalam sungai,” katanya.

Sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian di nombor akaun 11118-41- 00013403-4 (Mohamad Najmi Daud).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top