am@hmetro.com.my
George town: Bergelar Pegawai Kawalan Bas di Pusat Kawalan Operasi Rapid Penang bukanlah tugas yang mudah kerana ia menuntut disiplin tinggi, ketelitian dan kesabaran dalam memastikan setiap perjalanan berjalan lancar.
Di sebalik pergerakan bas Rapid Penang yang membawa rakyat ke destinasi setiap hari, tidak ramai yang menyedari bahawa kelancaran perjalanan itu sebenarnya dipantau rapi oleh sekumpulan wira senyap di sebalik tabir operasi. Mereka adalah insan yang memastikan roda terus berputar demi mobiliti masyarakat.
Anak kelahiran Pulau Pinang, Muhammad Amirul Maslan, 32, dan Mohamad Naquiaddin Mohd Rosli, 35, antara enam Pegawai Kawalan Bas yang memastikan setiap kenderaan itu bergerak selamat mengikut jadual selain bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Berkongsi pengalaman sepanjang tujuh tahun berkhidmat memegang jawatan itu, Muhammad Amirul berkata, adalah menjadi tanggungjawabnya bagi memastikan Rapid Penang sentiasa memberi perkhidmatan terbaik, selamat dan mesra kepada penumpang.
Bapa kepada dua anak itu berkata, antara tugas sebagai Pegawai Kawalan Bas, dia perlu bertindak memantau keadaan trafik dan bertanggungjawab mengemaskini status penutupan jalan bagi mengurangi gangguan perkhidmatan bas dan van Rapid On-Demand (ROD).
Katanya, kerjaya itu memerlukan pembahagian masa secara giliran iaitu antara 5 pagi hingga 3 petang dan 3 petang hingga 1 pagi.
“Umumnya mengetahui bahawa aliran trafik di Pulau Pinang agak mencabar terutama ketika musim cuti atau perayaan penutupan jalan.
“Tidak dinafikan ia merupakan cabaran yang menguji kesabaran namun bagi mengurangi tekanan dan semua berlangsung dengan lancar, perancangan perlu dilakukan sebulan lebih awal,” katanya ketika ditemui di Depoh Weld Quay di sini.
Mengulas lanjut Muhammad Amirul berkata, bukan sahaja bertanggungjawab memastikan operasi bas harian berjalan lancar tetapi dia perlu bertindak balas segera terhadap situasi kecemasan.
Misalnya dalam pengendalian kes kecemasan membabitkan kapten bas bagi memastikan isu ditangani dengan cepat dan selamat.
“Saya perlu pantau keadaan trafik dan bertanggungjawab mengemaskini status penutupan jalan bagi mengurangi gangguan perkhidmatan bas dan van selain perlu berkomunikasi dengan kapten bas, terutama mengenai perubahan laluan dalam memastikan operasi berjalan lancar,” katanya lagi.
Menurut Muhammad Amirul, detik paling mencabar dalam kerjaya ialah apabila berlaku sesuatu insiden melibatkan bas yang memerlukannya untuk bertindak dalam tempoh singkat dan pantas
Katanya, paling utama ialah dia perlu kekal tenang, fikir dengan jelas dan memastikan semua kakitangan serta pihak yang terbabit mendapat maklumat dengan tepat.
“Pegawai Kawalan Bas adalah merupakan antara individu pertama yang menerima panggilan kecemasan serta membantu dalam situasi kecemasan dengan mengutamakan keselamatan.
“Jika berlaku kesesakan, kerosakan atau kelewatan bas, pemerhatian perlu dilakukan sebelum hubungi pasukan penyelamat dan biasanya, ia boleh diatasi dalam masa kurang daripada sejam.
“Saya pernah berdepan kejadian membabitkan kebakaran bas dan perlu pantas hubungi bomba supaya api dapat dikawal selain memastikan keselamatan penumpang,” katanya.
Mohamad Naquiaddin sentiasa bermotivasi dengan tindakan, puas dapat bantu penumpang
Pengalaman membantu keluarga mengesan anak mereka yang juga penumpang bas Rapid Penang menjadi pengalaman sukar dilupakan buat Pegawai Kawalan Bas, Mohamad Naquiaddin Mohd Rosli, 35.
Kejadian beberapa tahun lalu itu benar-benar menguji kemampuannya dalam pengurusan kes kecemasan selepas terima laporan.
Mohamad Naquiaddin berkata, maklumat awal diterimanya daripada keluarga yang mendakwa anaknya tidak sampai ke sekolah selepas menaiki bas berkenaan.
Katanya, beberapa maklumat penting diambil seperti waktu anaknya menaiki bas dan destinasi yang dituju bagi mengesan kedudukan murid berkenaan.
“Kepantasan mengesan dan berhubung dengan kapten bas berjaya menemukan pelajar itu yang sebenarnya terlepas hentian kerana tertidur.
“Saya hubungi keluarga murid itu bagi memaklumkan bahawa anaknya sudah ditemukan dalam keadaan selamat dan menghantarnya pulang.
“Memang ia situasi cemas kerana ‘kehilangan’ individu namun selepas itu sejujurnya saya rasa lega kerana pencarian berlangsung lancar dan menemukan semula murid itu dengan keluarganya,” katanya yang tinggal di Bayan Lepas.
Mengulas mengenai kerjaya yang disandang sejak 2014, Mohamad Naquiaddin berkata, dia turut memastikan bas tidak terkeluar dari laluan, tidak terlalu lama berhenti (idling) atau tidak memandu melebihi had laju dan perlu ambil tindakan segera bagi mengelakkan gangguan operasi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




