am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tidak sekadar membongkar petualang negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berperanan jauh lebih besar dalam menyelamatkan berbilion aset negara setiap tahun.
Di sebalik operasi penuh risiko dan siasatan yang rumit, SPRM berjaya menyelamatkan harta negara dan wang rakyat daripada terus digelapkan, diseleweng dan dibolot oleh tangan-tangan tamak.
Semua ini hasil ketekunan berterusan pegawai SPRM dalam mengesan, membekukan dan mengembalikan hasil rasuah serta salah guna kuasa kepada rakyat.
Dalam senyap, mereka menjadi wira ‘ulung’ dalam mempertahankan khazanah negara agar tidak lenyap ke akaun peribadi, syarikat proksi dan jaringan rasuah berprofil tinggi.
Peranan penting ini menjadikan SPRM bukan sekadar benteng menentang jenayah rasuah, tetapi juga penjaga kekayaan nasional, memastikan setiap sen milik rakyat dimanfaatkan semula untuk pembangunan dan kesejahteraan negara, bukannya menjadi mangsa kerakusan manusia.
Ini dibuktikan apabila SPRM berjaya merampas aset lebih RM31.4 bilion dan melucut hak aset hampir RM28 bilion dalam tempoh lima tahun sehingga Ogos lalu.
Malah sepanjang tahun lalu, jumlah keseluruhan nilai aset dirampas, dibeku, dilucut hak dan kompaun dikenakan SPRM melebihi RM285 juta.
SPRM memaklumkan, berdasarkan statistik operasi dilakukan sepanjang tahun 2024, sebanyak 6,520 operasi dilakukan berdasarkan maklumat diperolehi diikuti 1,163 kertas siasatan dan 1,334 tangkapan dilakukan,
Manakala bagi tempoh Januari hingga 30 Sepember lalu, sebanyak 5,036 operasi dilakukan berdasarkan maklumat diikuti 893 kertas siasatan dan 1,022 tangkapan dilakukan SPRM.
Jumlah keseluruhan kejayaan operasi SPRM tahun ini dijangka akan terus meningkat menjelang 31 Disember kelak.
Berdasarkan statistik sitaan antara Januari hingga 30 September lalu, sebanyak RM561,768,417 harta berjaya disita mengikut Akta SPRM 2009.
Manakala berdasarkan Akta Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, sebanyak lebih RM6.2 bilion (RM6,254,470,736.85 ) berjaya disita SPRM dalam tempoh sama.
Turut dibekukan mengikut AMLATFPUAA adalah harta haram bernilai RM34,628,688.53.
SPRM tahun ini turut melucut hak harta mengikut Akta SPRM 2009 membabitkan nilai RM5,379,799.29 diikuti AMLATFPUAA 2001 (RM175, 120 ) dan Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) sebanyak RM175,120.
Sitaan kompaun pula merangkumi jumlah lebih RM21.5 juta.
Kejayaan ini adalah bukti jelas bahawa SPRM sentiasa proaktif dalam mengesan, menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam aktiviti rasuah serta pengubahan wang haram,
Penyitaan dan pelucuthakan aset ini merupakan langkah kritikal dalam memastikan penjenayah tidak dapat menikmati hasil daripada aktiviti haram mereka.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki baru-baru ini memaklumkan, angka rampasan dan sitaan itu bukan sekadar statistik, malah mencerminkan sejauh mana komitmen SPRM dalam memulihkan aset hasil jenayah kepada negara.
Menurutnya, usaha ini bukan sahaja mengembalikan hasil kepada negara, malah dapat membina semula keyakinan rakyat terhadap agensi penguat kuasa di negara ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




