Wisma Putra pantau kesan Taufan Wipha di Filipina, Vietnam

Wisma Putra pantau kesan Taufan Wipha di Filipina, Vietnam

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Luar (KLN) memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau keadaan di Filipina dan Vietnam susulan kesan Taufan Wipha yang kini menurun status kepada ribut tropika teruk.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan, hujan lebat dan banjir yang melanda Filipina hujung minggu lalu sudah meragut lima nyawa dan memaksa ribuan penduduk berpindah.

“Taufan Wipha yang kini menurun status kepada ribut tropika teruk, terus memberi kesan kepada kawasan utara Vietnam dengan amaran berkenaan hujan lebat berbahaya dan risiko tanah runtuh.

“Di Filipina, hujan berterusan akibat monsun barat daya (habagat) sejak 20 Julai 2025 menjejaskan kawasan Luzon, Visayas dan sebahagian Mindanao termasuk Metro Manila,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan, fenomena berkenaan mengakibatkan banjir kilat, tanah runtuh dan gangguan kepada perkhidmatan asas seperti bekalan elektrik, pengangkutan awam dan rangkaian komunikasi.

“Sehingga kini, Kedutaan Besar Malaysia di Manila tidak menerima laporan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas.

“Di Vietnam, Taufan Wipha dijangka membawa hujan sehingga 500mm ke beberapa kawasan di utara dan pihak berkuasa tempatan sudah mengeluarkan amaran risiko banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan rendah dan berbukit,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, berdasarkan laporan terkini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas akibat taufan tersebut di Vietnam, namun KLN akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa.

“Rakyat Malaysia di kedua-dua negara dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan mengelakkan kawasan berisiko tinggi.

“Mereka yang belum mendaftar dengan Kedutaan Malaysia terdekat digalakkan berbuat demikian bagi memudahkan bantuan konsular dan penyampaian maklumat terkini,” katanya.

Untuk bantuan konsular atau sebarang pertanyaan lanjut, boleh hubungi Kedutaan Besar Malaysia di Manila, Filipina di talian telefon +63 2 8662 8200 / 8662 8201 / 8662 8202 atau E-mel: mwmanila@kln.gov.my / infomanila@kln.gov.my.

Selain itu boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Hanoi, Vietnam ditalia telefon: +84 24 3734 3849 / 3734 3820 / 3734 3832 atau E-mel: mwhanoi@kln.gov.my.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top