'Woi, kau bunuh saya punya adik!'

'Woi, kau bunuh saya punya adik!'

harisfadli@hmetro.com.my

Sepang: Suasana di Mahkamah Majistret di sini, tadi, tegang seketika apabila seorang lelaki dipercayai ahli keluarga penuntut universiti yang mati dibunuh 24 Jun lalu, cuba menghampiri suspek.

Lelaki tinggi lampai dan berbaju merah itu cuba menghampiri suspek ketika suspek keluar daripada mahkamah selepas selesai permohonan sambungan reman, di sini, pagi tadi.

Suspek utama iaitu seorang lelaki tempatan bersama dua suspek wanita dilihat keluar dari Mahkamah kira-kira jam 9.50 pagi sebelum individu terbabit berjalan menghampiri mereka sambil menjerit.

“Woi!, kau bunuh saya punya adik, pakai otak sikit lah, saya punya adik you (kamu) kasi mati,” teriaknya dari jauh.

Tindakan pantas pegawai polis yang berada di lokasi menenangkan individu terbabit berjaya meredakan keadaan selain mengelak perkara tidak diingini berlaku.

Sementara itu peguam mewakili suspek utama, M Manoharan mempersoalkan tindakan pihak polis yang mengeluarkan kenyataan mendakwa anak guamnya ‘mempunyai niat tidak baik’.

Katanya, proses siasatan masih berjalan dan pihak polis tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana di dalam undang-undang seseorang itu adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan tanpa keraguan.

“Kami sudah bangkitkan bantahan kepada Puan Majistret berhubung tindakan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, yang mengeluarkan kenyataan serta cebisan-cebisan keterangan yang boleh menjejaskan kes anak guam saya.

“Ini adalah perkara yang sangat serius, tugas polis adalah untuk menyiasat, dan kita mempunyai hakim yang bijaksana, terpelajar dan berwibawa untuk menentukan siapa yang bersalah dan siapa yang tidak,” katanya ketika ditemui tadi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top