Woltemade tangguh sertai skuad Jerman kerana masalah kesihatan

Woltemade tangguh sertai skuad Jerman kerana masalah kesihatan

Berlin: Penyerang Newcastle United, Nick Woltemade sedang mengalami jangkitan virus selesema dan akan menangguhkan penyertaannya bersama skuad Jerman untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Luxembourg dan Ireland Utara, menurut pasukan itu pada Isnin.

Pemain berusia 23 tahun itu memulakan musim ini dengan cemerlang sejak menyertai Newcastle apabila menjaringkan gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), termasuk kemenangan 2-0 ke atas Nottingham Forest pada Ahad.

Woltemade dengan pantas menjadi kegemaran penyokong di Newcastle selepas ahli lembaga pengarah Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge pernah menyifatkan kelab itu sebagai dungu kerana membayar lebih 60 juta euro (RM295.79 juta) kepada VfB Stuttgart untuk mendapatkan pemain itu.

“Nick Woltemade tidak akan tiba hari ini kerana dijangkiti virus selesema,” kata pasukan Jerman, namun tidak menyatakan bila penyerang itu akan menyertai skuad.

Jerman akan menjadi tuan rumah kepada Luxembourg pada Jumaat sebelum berkunjung ke Belfast untuk menentang Ireland Utara.

Pasukan Jerman kini berada di tangga ketiga dengan tiga mata, di belakang Ireland Utara berdasarkan perbezaan jaringan.

Slovakia mendahului kumpulan dengan enam mata, manakala Luxembourg berada di tangga tercorot tanpa sebarang mata.

Pasukan yang menamatkan saingan di tangga teratas kumpulan akan layak ke Piala Dunia 2026 yang akan dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada, manakala pasukan di tangga kedua akan beraksi dalam pusingan play-off.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top