London: Wolverhampton Wanderers bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat Brentford FC 2-2 apabila jaringan lewat Tolu Arokodare membantu kelab tercorot Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mencuri satu mata, awal pagi tadi.
Skuad kendalian Rob Edwards ketinggalan hasil jaringan Michael Kayode dan Igor Thiago di Stadium Komuniti Gtech.
Namun Adam Armstrong merapatkan jurang minit ke-37, sebelum penyerang Nigeria, Arokodare, menyamakan kedudukan pada penghujung permainan.
Wolves kini tidak tewas dalam tiga perlawanan liga terakhir selepas kemenangan mengejut ke atas Aston Villa FC dan Liverpool FC diikuti aksi penuh semangat di tempat sendiri.
Walaupun begitu, mereka hampir pasti tersingkir ke divisyen lebih rendah kerana masih berada 12 mata daripada zon selamat dengan hanya tujuh perlawanan berbaki.
Namun jika Wolves tersingkir ke Liga Kejuaraan, mereka sekurang-kurangnya boleh berbangga dengan semangat juang yang ditunjukkan.
“Sukar untuk berkata begitu apabila anda ketinggalan 0-2, tetapi saya rasa kami sebenarnya boleh memenangi perlawanan ini,” kata Edwards.
“Ia menunjukkan semangat juang, keberanian, kualiti dan kekuatan dalam pasukan ini. Walaupun kami berada dalam situasi ini, kami rasa lebih bersatu sebagai satu pasukan.”
Keputusan itu pula menyakitkan buat Brentford yang berada di tangga ketujuh kerana terlepas peluang mengukuhkan usaha mengejar slot Eropah.
Pasukan kendalian Keith Andrews kini ketinggalan tiga mata di belakang Chelsea FC di tangga keenam dan empat mata di belakang Liverpool FC di tempat kelima selepas gagal meraih kemenangan yang boleh membawa mereka semakin hampir kepada tempat Liga Juara-Juara.
Diramal berdepan penyingkiran pada awal musim, Brentford sebenarnya menikmati musim luar biasa selepas kehilangan pengurus Thomas Frank serta penyerang Bryan Mbeumo dan Yoane Wissa pada musim panas lalu.
Namun dalam tempoh seminggu, mereka tersingkir daripada Piala FA apabila tewas kepada West Ham United dan kini melepaskan kelebihan dua gol menentang Wolves.
“Apabila kami disebut dalam perbualan sama dengan Chelsea, itu sebenarnya sesuatu yang baik memandangkan hanya tinggal lapan perlawanan lagi,” kata Andrews.
“Tetapi realitinya kami sepatutnya boleh buat lebih baik malam ini. Kami perlu jujur dan menilai diri sendiri.”
Brentford mendahului pada minit ke-22 apabila hantaran silang tepat Keane Lewis-Potter menemui Kayode yang mudah menewaskan kawalan longgar pertahanan Wolves sebelum menanduk masuk dari jarak enam ela menewaskan José Sá.
Ia gol pertama Kayode bersama Brentford dan yang pertama untuk mana-mana kelab sejak menjaringkan gol bersama ACF Fiorentina menentang SS Lazio pada 2024.
Thiago menggandakan kelebihan Brentford pada minit ke-37.
Sepakan jauh penjaga gol Brentford, Caoimhin Kelleher, dikawal dengan baik oleh Dango Ouattara sebelum dia melorongkan bola kepada Thiago yang mudah menyudahkan dari jarak dekat.
Thiago, yang menerima panggilan pertama ke skuad kebangsaan Brazil semalam kini menjaringkan 22 gol dalam 32 perlawanan dalam semua pertandingan musim ini.
Wolves merapatkan kedudukan menerusi gol pertama Armstrong bersama kelab itu pada minit ke-44.
Jean-Ricner Bellegarde menghantar bola kepada Armstrong yang melakukan penyudah cantik ke penjuru atas gawang dari luar kotak penalti.
Apabila Brentford mula kehilangan kawalan permainan, Wolves terus menekan untuk mencari gol penyamaan yang akhirnya hadir pada minit ke-77.
Yerson Mosquera menemui João Gomes sebelum hantaran silang ke tiang jauh disudahkan Arokodare dengan tandukan padu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




