Woods dilarang bawa cucu Trump naik kereta

Woods dilarang bawa cucu Trump naik kereta

Florida: Bintang golf terkenal, Tiger Woods dilaporkan tidak dibenarkan membawa cucu Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menaiki kereta susulan insiden kemalangan terbaharu.

Pemain berusia 50 tahun itu yang kini menjalinkan hubungan dengan bekas menantu Trump, Vanessa Trump, terbabit dalam kemalangan selepas kenderaan Land Rover dipandunya terbalik, Jumaat lalu.

Difahamkan, Woods cuba memotong sebuah trak sebelum melanggar bahagian belakang kenderaan itu sehingga hilang kawalan di Florida.

Dia kemudian ditahan dan didakwa memandu di bawah pengaruh bahan terlarang.

Insiden itu adalah kejadian jalan raya besar keempat membabitkannya, dengan laporan turut menyebut Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat menguruskan pergerakan lima anak Vanessa.

Kesemua mereka adalah hasil hubungan Vanessa dengan Donald Trump Jr.

Menurut sumber kepada New York Post, ejen keselamatan “tidak akan membenarkan Tiger Woods walaupun tanpa kesalahan DUI”.

“Sudah pasti ada kebimbangan jika anak-anak itu tidak dilindungi Perkhidmatan Rahsia,” kata sumber berkenaan.

Sumber turut mendakwa Woods berkemungkinan mengambil ubat tahan sakit opioid yang dibenarkan ketika kemalangan berlaku.

Pemain itu dikatakan bukan pengguna dadah haram, sebaliknya mungkin mengambil ubat preskripsi susulan kecederaan berulang dalam karier golfnya.

Polis turut mengeluarkan gambar tangkapan yang menunjukkan Woods dalam keadaan tidak terurus dengan mata merah dan bengkak.

Beberapa gambar lain turut tersebar yang memaparkan wajah serius Woods ketika dibawa keluar dari Penjara Martin County selepas dibebaskan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top