Miami: Bintang golf, Tiger Woods, dijadualkan kembali beraksi Rabu ini dalam liga simulator TGL, pertandingan pertama sejak kematian ibunya pada 4 Februari lalu.
TGL mengumumkan senarai pasukan untuk empat perlawanan minggu depan di X dengan Woods mengetuai barisan Kelab Golf Jupiter Links untuk berdepan Kelab Golf New York di SoFi Center di Palm Beach Gardens, Florida.
Juara 15 kali major ini mengumumkan pada 4 Februari bahawa ibunya, Kultida Woods meninggal dunia pada usia 80 tahun.
Beberapa hari kemudian, Woods mengumumkan niatnya untuk bermain di Genesis Invitational, acara elit Jelajah AS PGA yang dia anjurkan dan sedang berlangsung minggu ini di Torrey Pines berhampiran San Diego.
Namun, Woods menarik diri dari kejohanan itu pada hari Isnin, berkata bahawa dia “belum bersedia.”
“Saya sudah melakukan yang terbaik untuk bersiap, kerana saya tahu itu yang diinginkan oleh ibu saya, tetapi saya masih dalam proses menerima kehilangan ini,” kata Woods dalam satu kenyataan di X.
Woods belum bermain golf peringkat tinggi sejak dia gagal melepasi cut pada Kejohanan Terbuka bulan Julai lalu.
Acara Jelajah ASA PGA terakhirnya yang bukan kejohanan utama adalah Genesis Invitational tahun lalu, di mana dia menarik diri kerana masalah kesihatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




