World Boxing mohon maaf kepada Imane

World Boxing mohon maaf kepada Imane

London: Badan induk tinju dunia, World Boxing tampil memohon maaf secara terbuka selepas menamakan juara Olimpik Paris, Imane Khelif, dalam kenyataan rasmi berkaitan pelaksanaan ujian jantina wajib bagi semua atlet yang bertanding di bawah naungannya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan minggu lalu, World Boxing memaklumkan satu surat sudah dihantar kepada Persekutuan Tinju Algeria, memaklumkan Imane tidak dibenarkan menyertai sebarang kejohanan bawah kategori wanita anjuran badan itu sehingga dia menjalani ujian pengesahan jantina seperti yang ditetapkan.

Namun, sumber memaklumkan Presiden World Boxing, Boris van der Vorst, secara peribadi menulis surat kepada Presiden Persekutuan Tinju Algeria, Abdelkader Abbas, untuk memohon maaf atas tindakan menamakan atlet terbabit secara terbuka, yang dianggap menjejaskan privasi petinju itu.

“Kami seharusnya lebih berhati-hati dan mengambil langkah lebih baik untuk melindungi privasi Imane ,” katanya.

World Boxing sebelum ini mengumumkan semua atlet berusia 18 tahun ke atas diwajibkan menjalani ujian genetik PCR (polymerase chain reaction), sama ada melalui calitan hidung, mulut, air liur atau darah, sebagai sebahagian daripada prosedur baharu bagi mengesahkan kelayakan jantina dalam penyertaan kategori wanita.

Imane dan Persekutuan Tinju Algeria setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas berhubung perkara itu.

Untuk rekod, Persekutuan Tinju Algeria menyertai World Boxing pada September tahun lalu, menjadikan mereka antara lebih 100 persekutuan kebangsaan yang kini bernaung di bawah badan induk itu sejak ia ditubuhkan pada 2023.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top