WTO gagal dapat pengecualian harta intelek vaksin COVID-19

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

GENEVA: Negara Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) hari ini gagal capai persetujuan untuk mengecualikan hak harta intelek (IP) bagi vaksin COVID-19.

Langkah bertujuan meningkatkan pengeluaran dan mengatasi kekurangan bekalan vaksin di negara miskin tidak dapat mencapai kata sepakat ketika perjumpaan negara anggota mengadakan perbincangan di ibu pejabat badan global di Geneva.

Perkara itu dimaklumkan jurucakap WTO, Keith Rockwell, kepada wartawan selepas sembilan bulan perbincangan yang disifatkannya sebagai isu yang sangat emosional.

“Negara anggota akan mengadakan pertemuan tidak rasmi pada awal September untuk membincangkan kemelut itu, diikuti dengan pertemuan rasmi pada 13 dan 14 Oktober ini.

“Tidak mungkin mereka akan berhenti membincangkan perkara ini, ia terlalu penting,” katanya selepas perbincangan selama berjam-jam pada hari pertama mesyuarat Majlis Umum WTO yang dijadualkan berlangsung selama dua hari.

India dan Afrika Selatan mengemukakan idea mengecualikan hak IP bagi vaksin COVID-19 pada Oktober lalu.

Penyokong berpendapat pengecualian hak IP sementara akan meningkatkan pengeluaran di negara membangun dan menangani ketidakadilan akses kepada vaksin.

Bagaimanapun, ia mendapat tentangan sengit daripada syarikat gergasi farmasi dan negara tuan rumah, yang menegaskan bahawa hak paten bukan penghalang utama untuk meningkatkan pengeluaran dan memberi amaran bahawa langkah itu boleh menghalang inovasi.

Menurut data AFP, sebanyak 3.93 bilion dos vaksin COVID-19 sudah diberikan di seluruh dunia.

Hanya 0.3 peratus daripadanya sudah disuntik di 29 negara berpendapatan rendah iaitu kawasan diduduki sembilan peratus daripada penduduk dunia.

Kata Rockwell, pengeluaran vaksin di negara membangun perlu ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi sehingga lebih banyak penduduk di Afrika, Amerika Latin dan Asia menerima suntikan vaksin. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd