Wujudkan audit bebas menilai kos penjawat awam ke luar negara

Wujudkan audit bebas menilai kos penjawat awam ke luar negara

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan disyorkan dapat mewujudkan sistem audit bebas yang bukan hanya berupaya menilai kos lawatan membabitkan penjawat awam ke luar negara tetapi juga impak dihasilkan menerusi pembabitan mereka dalam sesuatu program.

Prof Madya Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Shahrul Mizan Ismail berkata, justifikasi untuk perbelanjaan besar membabitkan urusan kerajaan juga mesti dipantau secara ketat dan dibuka kepada audit awam.

Menurutnya, langkah itu penting kerana reformasi tanpa metrik yang jelas berpotensi untuk gagal malah pembatalan lawatan ke luar negara membabitkan penjawat awam misalnya juga membawa kepada isu akauntabiliti lebih luas.

“Ketelusan dalam penggunaan dana awam masih menjadi isu penting kerana timbul persoalaan mengenai perbelanjaan kerajaan yang dianggap tidak diuruskan dengan baik oleh segelintir pihak.

“Walaupun Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menekankan kepentingan reformasi, akauntabiliti tidak boleh hanya terhad kepada lawatan luar negara.

“Semua bentuk perbelanjaan kerajaan mesti disertakan dengan justifikasi yang sah dan impak yang boleh diukur.

 

“Berdasarkan pengalaman saya, banyak organisasi gagal kerana mereka tidak mempunyai rangka kerja akauntabiliti kuat dan perkara ini tidak boleh berlaku dalam sektor awam yang bertanggungjawab kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Shahrul Mizan berkata, keputusan Perdana Menteri membatalkan rombongan 68 penjawat awam ke Berlin, Jerman wajar diberi pujian kerana bertepatan dengan mesej transformasi yang cuba disampaikan oleh kerajaan.

Katanya, langkah diambil Perdana Menteri menunjukkan komitmen kerajaan terhadap reformasi dan pengurusan yang berhemat dan telus.

“Bagaimanapun, cabaran lebih besar adalah memastikan mekanisme kelulusan yang lebih teliti pada masa hadapan.

“Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, semua lawatan luar negara akan memerlukan pembentangan kertas kerja kepada Kabinet dan penilaian sama ada ia wajar diteruskan.

“Ia satu langkah yang penting tetapi persoalan utamanya adalah bagaimana proses itu akan dikawal dan dipantau secara berterusan.

 

“Adakah sistem ini akan disertakan dengan penanda aras prestasi yang jelas untuk mengukur keberkesanan setiap lawatan atau projek luar negara?,” katanya.

Tambah Shahrul Mizan, kerajaan perlu membuktikan keputusan dibuat bukan hanya satu simbolik tetapi sebahagian daripada gerakan menyeluruh untuk membentuk pentadbiran yang benar, bertanggungjawab, telus dan mengambil kira kepentingan rakyat.

 

Shahrul Mizan berkata, kerajaan juga perlu memastikan tindakan tegas tidak hanya terpakai kepada penjawat awam di peringkat sokongan dan pelaksana tetapi juga pegawai kanan serta menteri.

“Sering kali diperkatakan apabila berkaitan pegawai bawahan, pengawasan dan kawalan sangat ketat tetapi persoalan timbul apabila keputusan membabitkan pegawai tinggi seperti menteri.

 

“Jadi, ketelusan dan akauntabiliti perlu diterapkan secara menyeluruh tanpa pengecualian kerana penyalahgunaan sumber awam di mana-mana peringkat akan memberi impak negatif terhadap keyakinan rakyat dan pelabur.

“Reformasi yang dilaksanakan mestilah adil dan tidak boleh dilihat hanya menyasarkan golongan bawahan.

“Sebaliknya semua pegawai termasuk yang berpangkat tinggi perlu tertakluk kepada proses pemantauan sama ketat dan berteraskan prinsip tanggungjawab,” katanya.

Perdana Menteri sebelum ini dilaporkan membatalkan rombongan 68 penjawat awam untuk menghadiri satu pameran kecil di Berlin bagi mengelak pembaziran wang rakyat.

Menurut Anwar, tiada keperluan untuk rombongan penjawat awam terbabit hanya untuk menghadiri pameran kecil walaupun tiket penerbangan dan hotel bagi semua penjawat awam itu sudah disediakan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan, tindakan itu adalah sebahagian tindakan transformasi yang perlu dilakukan terhadap kementerian, agensi serta jabatan kerajaan hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top