Wujudkan kasih sayang bukan menyakiti & menzalimi | Harian Metro

Wujudkan kasih sayang bukan menyakiti & menzalimi | Harian Metro

Pengumuman Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 yang mula berkuat kuasa secara rasmi adalah pencapaian penting kerajaan dalam usaha memperkukuh sistem perundangan negara agar selari dengan cabaran jenayah moden.

Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, kedua-dua pindaan yang diluluskan di Parlimen pada Disember tahun lalu memberi fokus khusus terhadap kesalahan buli. Kesalahan buli berkenaan termasuk buli fizikal dan buli siber bagi melindungi golongan rentan seperti kanak-kanak, remaja serta individu yang mengalami tekanan akibat gangguan emosi.

Secara khusus, pindaan ini memperkenalkan seksyen baharu seperti Seksyen 507B hingga 507G yang secara spesifik memperuntukkan hukuman setimpal bagi kesalahan berkaitan komunikasi mengancam, menghina atau mencela yang bertujuan menyebabkan gangguan emosi atau ketakutan kepada mangsa. Pindaan ini turut merangkumi kesalahan berkaitan penyebaran maklumat peribadi tanpa izin atau doxing yang kini diklasifikasikan sebagai jenayah serius dan boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun.

Perkembangan yang baik ini diharap mampu mencegah budaya buli daripada berleluasa dan dinormalisasi, khususnya di institusi pendidikan di Malaysia. Kefahaman terhadap hukum, kesan dan akibat daripada jenayah buli perlu diperluaskan selain daripada penguatkuasaan undang-undang sedia ada.

Dalam bahasa Arab, perbuatan buli dikenal dengan beberapa istilah seperti al-tanammur, al-idhtihad dan al-iza’. Ketiga-tiga istilah ini merangkumi makna perlakuan agresif, penindasan serta tindakan menyakiti sama ada secara fizikal, emosi mahupun mental. Dalam wacana kontemporari, istilah al-tanammur lebih dominan digunakan merujuk kepada fenomena buli dalam pelbagai konteks sosial dan institusi.

Perbuatan buli tidak terhad kepada tindakan menyakiti secara langsung, tetapi juga mencerminkan satu bentuk kezaliman yang menjejaskan maruah serta kesejahteraan mangsa. Ia membawa implikasi yang serius terhadap kesihatan mental dan emosi individu, khususnya dalam kalangan pelajar dan remaja.

Dalam pandangan Islam, perbuatan membuli adalah bertentangan dengan syariat Islam yang mementingkan kasih sayang, hormat-menghormati dan persaudaraan sesama manusia. Rasulullah SAW menegaskan larangan terhadap segala bentuk tindakan yang menyakiti manusia, sama ada melalui perbuatan mahupun kata-kata. Prinsip ini sejajar dengan tuntutan Islam yang menganjurkan kasih sayang, keadilan dan penghormatan terhadap hak serta maruah sesama insan. Dalam sebuah hadis daripada Abdullah bin Amr RA, Rasulullah SAW bersabda: “Orang Islam yang sempurna keislamannya adalah apabila orang Islam lain terselamat daripada gangguan lidah dan tangannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Ketika era jahiliah, fenomena yang menyerupai konsep buli masa kini tidaklah ditakrifkan secara formal seperti dalam konteks moden. Namun, unsur penindasan dan ketidakadilan tetap wujud dalam bentuk kezaliman terhadap golongan yang lemah, diskriminasi berasaskan status sosial, kekerasan antara kabilah serta penghinaan dan penganiayaan terhadap wanita, khususnya anak perempuan. Masyarakat jahiliah ketika itu menormalisasikan budaya penyalahgunaan kuasa serta pengagungan terhadap kekuatan fizikal apabila penindasan oleh golongan berpengaruh terhadap mereka yang tidak berdaya dianggap lumrah dan diterima sebagai norma sosial.

Kedatangan Islam membawa perubahan menyeluruh terhadap sistem nilai jahiliah yang menindas ini. Ajaran Islam yang syumul tampil sebagai cahaya petunjuk yang menghapuskan segala bentuk kezaliman, penindasan dan ketidakadilan. Islam menegaskan prinsip kesamarataan antara manusia di sisi Allah SWT tanpa mengambil kira keturunan, kedudukan mahupun pangkat. Nilai ketakwaan dijadikan ukuran sebenar kemuliaan insan, sebagaimana yang termaktub dalam Surah al-Hujurat ayat 13: “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa antara kamu.”

Antara prinsip utama dalam Islam ialah tanggungjawab untuk membantu sesama manusia sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tolonglah saudaramu, sama ada dia seorang yang menzalimi atau dizalimi.” Lalu seorang lelaki bertanya: ‘Wahai Rasulullah, aku akan menolongnya jika dia dizalimi, tetapi bagaimana pula jika dia yang menzalimi? Bagaimana aku boleh menolongnya?’ Maka baginda menjawab: ‘Kamu menahannya atau menghalangnya daripada melakukan kezaliman maka itulah bentuk pertolongan kepadanya.'” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini menggambarkan komitmen Islam dalam menolak kezaliman dalam apa jua bentuk serta menyeru umatnya untuk bertindak aktif dalam menegakkan keadilan. Menegah seseorang daripada melakukan kezaliman bukan sahaja dianggap sebagai bentuk pertolongan, malah ia mencerminkan tanggungjawab moral dan sosial dalam mewujudkan masyarakat yang harmoni dan berintegriti.

Perbuatan buli berpotensi berlaku dalam pelbagai latar dan suasana kehidupan, sama ada di tempat kerja, institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti, kawasan kejiranan, jalan raya mahupun di ruang siber. Buli adalah tindakan yang dilakukan secara sedar dan disengajakan oleh individu atau kumpulan terhadap pihak lain dengan tujuan menimbulkan gangguan emosi, tekanan atau penghinaan. Ia boleh berlaku dalam bentuk fizikal mahupun bukan fizikal seperti buli siber dan sering didorong oleh unsur fitnah, perasaan dengki, dendam, ketidakmampuan mengawal emosi dan kemarahan.

Dalam konteks pendidikan, khususnya di peringkat sekolah, buli dianggap sebagai antara masalah disiplin yang paling membimbangkan.

Realitinya, buli bukanlah sekadar suatu bentuk penindasan atau perlakuan menyakiti yang bersifat remeh. Dalam situasi yang lebih ekstrem, ia boleh mengakibatkan kesan yang sangat tragik termasuk kehilangan nyawa. Kematian akibat perbuatan buli merupakan bukti jelas betapa serius dan dahsyatnya kesan daripada kegagalan masyarakat menangani isu ini. Sebagai contoh, satu kes buli yang menggemparkan melibatkan sekumpulan pelajar di sebuah universiti awam di Malaysia. Mangsa telah dipukul sehingga maut semata-mata kerana dituduh mencuri sebuah komputer riba. Tragedi ini menzahirkan kelemahan sistem sokongan sosial apabila mangsa tidak mendapat perlindungan atau bantuan sewajarnya, manakala masyarakat sekeliling pula gagal untuk bertindak bagi menghentikan kezaliman tersebut sebelum ia terlambat.

Fenomena ini menuntut pendekatan yang menyeluruh dan sistematik dalam menangani buli, termasuk pemerkasaan nilai murni, penguatkuasaan undang-undang dan pembinaan budaya prihatin dalam kalangan masyarakat. Dalam usaha menangani gejala buli khususnya di institusi pendidikan, peranan guru dan kaunselor sekolah adalah amat penting. Mereka harus diberikan latihan profesional dan berstruktur bagi membolehkan mereka mengenal pasti tanda-tanda awal mangsa buli serta memberikan sokongan psikologi dan intervensi yang bersesuaian. Kompetensi ini penting bagi memastikan tindakan yang pantas dan berkesan dapat diambil sebelum insiden menjadi lebih serius atau berulang.

Selain itu, penglibatan ibu bapa secara aktif dalam proses pemantauan dan penyelesaian kes buli juga amat diperlukan. Komunikasi berterusan antara pihak sekolah dan ibu bapa dapat membantu membentuk pemahaman bersama serta memperkukuh usaha pencegahan dari rumah dan sekolah secara serentak. Pihak sekolah perlu mengambil pendekatan proaktif dalam menangani isu ini dengan melaksanakan kempen kesedaran, program pembangunan karakter serta sesi bimbingan yang berfokus kepada pembinaan sahsiah murid. Pada masa sama, pelaksanaan tindakan disiplin yang tegas dan konsisten terhadap pelaku buli perlu dikuatkuasakan bagi memberi mesej jelas tingkah laku membuli tidak boleh dikompromi dalam mana-mana keadaan.

Penulis Profesor Madya Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top