Xhaka punca Arsenal cicir mata

LONDON: Pemain tengah Arsenal Granit Xhaka memohon maaf kepada peminat Gunners selepas kesilapannya ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Burnley.

Skuad kendalian Mikel Arteta ketika itu mendahului 1-0, Xhaka cuba membuat hantaran dalam kotak penalti sendiri dan bola terkena Chris Wood serta melantun masuk ke gawang Arsenal.

Kesilapan itu menyebabkan Arsenal kehilangan dua mata apabila permainan terikat 1-1.

Xhaka, yang melakukan beberapa kesilapan musim ini, memuat naik permohonan maaf di media sosial.

“Salah saya untuk jaringan mereka dan saya mohon maaf di atas kesilapan itu,” kata Xhaka.

Keputusan seri di Turf Moor itu meletakkan Arsenal di tangga kesepuluh liga, sembilan mata di belakang Chelsea yang menghuni tangga keempat.

Cabaran seterusnya bagi anak buah Arteta ialah kunjungan ke Greece bertemu Olympiacos untuk aksi 16 terakhir Liga Europa, sebelum menerima kunjungan Tottenham Ahad depan.

Peluang terbaik Arsenal untuk kembali ke kancah Liga Juara-Juara Eropah buat pertama kali selepas lima tahun adalah dengan menjuarai Liga Europa. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top