“Ya, Pihak Syamsul Yusof Ada Minta Beberapa Tuntutan Semula” – Peguam Ira Kazar

“Ya, Pihak Syamsul Yusof Ada Minta Beberapa Tuntutan Semula” – Peguam Ira Kazar

Pempengaruh, Ira Kazar mengakui bekas suaminya, pengarah dan pelakon sensasi telah membuat tuntutan terhadap beberapa perkara ke atas dirinya.

Peguam syarie, Mohammad Fadhil Abdul Razak, mewakili Ira mengesahkan perkara tersebut ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Keramat, pada Petang Jumaat.

“Ya pihak sana ada meminta beberapa tuntutan semula ke atas anak guam saya (Ira). Tetapi kami tidak bersetuju memandangkan perkara itu berlaku semasa dalam perkahwinan.

“Kami bukan tidak mahu bersetuju, tetapi dari segi hukum syarak sudah dinyatakan apabila sudah diberikan, tidak akan dipulangkan semula,” katanya.

Enggan mendedahkan secara lebih terperinci, peguam Mohammad Fadhil menjelaskan mereka ada memberikan beberapa cadangan untuk menyelesaikan hal tersebut namun sehingga kini masih tiada kata putus daripada kedua-dua belah pihak.

“Memandangkan tuntutan ini dibuat di luar mahkamah, pihak kami ada membuat perbincangan dengan pihak Syamsul.

“Tetapi keputusan tuntutan itu belum disahkan lagi. Bagaiamanapun buat masa ini saya tidak boleh hendak mendedahkan apa dalam tuntutan tersebut demi menghormati kedua-dua belah pihak,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai reaksi Ira terhadap tuntutan tersebut, anak kepada pelakon Kazar Saisinitu memilih untuk mengunci mulut.

“Saya tidak mahu komen. Kita hadap (berdepan) sahaja.

“Saya takut nanti saya cakap dan orang akan salah tafsir,” katanya.

Mahkamah memerintahkan Syamsul untuk membayar kos kehadiran berjumlah RM200 kepada bekas isterinya, Ira.

Perkara tersebut diputuskan oleh Hakim Maizatul Aliza Chee Din pada prosiding yang berlangsung pada jam 3 petang tadi di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.

Peguam syarie mewakili Ira Kazar, Mohammad Fadhil Abdul Razak berkata pihaknya memohon kos kehadiran sebanyak RM3,000 kerana menyusahkan pihak defendan iaitu Ira dan plaintif (Syamsul) tidak berterus terang kerana wujudnya lafaz taklik di luar mahkamah pada Jun lalu.

Pada 5 September lalu, Ira dan Syamsul sah berpisah talak satu selepas wujudnya lafaz cerai taklik ketika pasangan itu masih suami isteri.

Pengesahan lafaz cerai taklik itu disahkan oleh Hakim Syarie Mohd Faizal Habib di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor.

Peguam syarie mewakili Ira Kazar, Mohammad Fadhil Abdul Razak berkata mahkamah mengesahkan berlakunya lafaz taklik dan sekali gus jatuh talak satu.

Terdahulu Syamsul dan Ira berkahwin pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand.

Artikel Berkaitan: Syamsul Yusof Diperintah Bayar Kos Kehadiran RM200 Kepada Ira Kazar

Scroll to Top