YAKEB sedia bantu bekas pemenang ASN tuntut imbuhan

YAKEB sedia bantu bekas pemenang ASN tuntut imbuhan

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) menyatakan kesediaan untuk menghubungi bekas pemenang Anugerah Sukan Negara (ASN) yang didakwa masih belum menerima imbuhan atau hadiah iringan yang dijanjikan pada era terdahulu.

Pengerusi YAKEB, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, pihaknya akan mendapatkan pengesahan rasmi daripada atlet terbabit sebelum membawa isu berkenaan kepada perhatian Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) selaku pemilik semasa ASN.

Beliau mengulas laporan media yang tular baru-baru ini mengenai dakwaan beberapa bekas Olahragawan dan Olahragawati Negara termasuk bekas atlet jalan kaki V Subramaniam, bekas pelari pecut Junaidah Aman dan legenda badminton Sylvia Ng yang belum menerima ganjaran wang tunai RM5,000 walaupun sudah meraih anugerah itu antara tahun 1966 hingga 1982.

“YAKEB akan menghubungi bekas Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan berkenaan yang juga ahli yayasan untuk mendapatkan pengesahan mengenai dakwaan itu. Kami juga akan berhubung dengan kerajaan khususnya KBS dan MSN yang merupakan pemilik ASN ketika ini bagi mendapatkan maklum balas mereka.

“Sekiranya perkara ini benar-benar berlaku, maka kami harap kerajaan dapat mempertimbangkan ‘delayed request’ ini sebagai permohonan baharu YAKEB dan ahli-ahlinya.

“Saya harap ahli YAKEB yang terbabit dapat menghubungi kami untuk memberikan pengesahan, walaupun mereka berasakan tidak memerlukan hadiah iringan itu, sekurang-kurangnya ia dapat membantu rakan lain yang berharap mendapat pengiktirafan sewajarnya,” kata Shapawi ketika dihubungi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top