Yakeb terima peruntukan RM1 juta untuk bantu kebajikan ahli

Yakeb terima peruntukan RM1 juta untuk bantu kebajikan ahli

aida_adilah@Hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) menerima peruntukan RM1 juta daripada kerajaan bagi memperkukuh usaha membantu kebajikan bekas atlet negara termasuk menyalurkan bantuan serta insentif kepada ahlinya.

Pengerusi Yakeb, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, peruntukan yang disalurkan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu digunakan untuk menguruskan pelbagai bantuan di bawah skim kebajikan yayasan berkenaan.

Menurutnya, peruntukan itu membolehkan Yakeb terus menyalurkan bantuan kepada ahli yang memerlukan termasuk dari aspek kebajikan serta keperluan perubatan.

“Alhamdulillah kita menerima peruntukan RM1 juta daripada Kementerian Kewangan melalui KBS bagi membantu menguruskan perbelanjaan Yakeb termasuk pemberian bantuan serta insentif yang tersedia dalam skim kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian sumbangan sempena Aidilfitri kepada ahli Yakeb, hari ini, yang disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Pada majlis berkenaan, seramai 50 ahli Yakeb menerima sumbangan barangan serta sedikit bantuan tunai bagi membantu mereka membuat persiapan Aidilfitri.

Selain itu, kira-kira 10 ahli turut menerima sumbangan khas di bawah skim insentif Yakeb, manakala 10 legenda sukan negara menerima cenderamata sebagai tanda penghargaan atas jasa mereka kepada negara.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Yakeb merancang mewujudkan Pusat Kecemerlangan Yakeb di Kuala Lumpur sebagai pusat pengumpulan ahli selain menyediakan kemudahan transit kepada bekas atlet dari luar kawasan yang datang ke ibu negara bagi mendapatkan rawatan.

“Kami di Yakeb ketika ini sedang berusaha mendapatkan sumbangan bagi merealisasikan penubuhan pusat berkenaan yang dirancang dibangunkan di sekitar Kuala Lumpur berhampiran kemudahan perubatan utama seperti Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top