kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Yakin Splendour Global Holdings Berhad, mengukuhkan kedudukan dalam industri bioteknologi tempatan apabila anak syarikatnya, Klinik Merkel di Sunway Velocity, secara rasmi diiktiraf Malaysia Book of Records (MBR) bagi pencapaian ‘Most MSC Stem Cells Treatment Sold in a Month’.
Pencapaian signifikan itu didorong oleh strategi pemasaran tersusun, jenama yang konsisten serta pelaksanaan sesi pendidikan awam yang membantu meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai potensi perubatan regeneratif.
Langkah ini secara tidak langsung memperluas akses rakyat kepada teknologi kesihatan berasaskan sel stem.
Pengiktirafan itu menjadikan Klinik Merkel sebagai klinik perubatan regeneratif pertama dan satu-satunya di Malaysia yang meraih rekod itu, sekali gus mengukuhkan kedudukan Yakin Splendour Global Holdings Berhad sebagai antara peneraju teknologi sel stem di negara ini.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yakin, Patrick Tan berkata, misi syarikat ialah memperluas manfaat teknologi kesihatan berasaskan bioteknologi kepada rakyat.
Katanya, pencapaian itu bukan sekadar rekod, tetapi satu penanda aras yang menunjukkan kepercayaan masyarakat terhadap teknologi aplikasi sel stem yang dibangunkan syarikat.
“Ini satu pengesahan terhadap misi kami untuk menjadikan perubatan regeneratif lebih mudah diakses orang ramai dan ia juga mengangkat usaha pasukan kami yang bertahun-tahun mendidik dan berkhidmat kepada komuniti,” katanya kepada media di majlis pengiktirafan MBR di sini, hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai kebimbangan orang ramai terhadap penggunaan sel stem, Patrick berkata semua produk dan teknologi yang digunakan Yakin Group melalui proses penilaian ketat serta mematuhi standard keselamatan tinggi.
“Setiap prosedur dilakukan profesional terlatih, kami perkemas standard dalaman daripada penyimpanan, pengangkutan hingga pengendalian sel dengan standard industri yang makin baik, keyakinan masyarakat turut meningkat,” katanya.
Patrick berkata, keyakinannya terhadap pasaran tempatan didorong perkembangan pesat industri di Amerika Syarikat, China dan Jepun yang melabur besar dalam penyelidikan sel stem.
“Teknologi sel stem bakal menjadi antara teknologi paling signifikan mengubah kehidupan manusia sama seperti kecerdasan buatan (AI) yang menjadi sebahagian hidup kita, pembangunan dan kultur sel akan menjadi tunjang penting dalam penjagaan kesihatan,” katanya.
Katanya, pendekatan baharu rawatan kini bukan lagi tertumpu sepenuhnya kepada ubat, tetapi memanfaatkan sel stem untuk memperbaiki imuniti dan mempercepat proses penyembuhan dari dalam tubuh.
Beliau berkata, setakat ini, pasaran Yakin Group di Malaysia hanya sekitar dua hingga tiga peratus, terhad kepada golongan berpendapatan tinggi berikutan kos rawatan yang masih mahal.
“Walaupun kecil, pertumbuhan tahunannya sekitar 18 peratus. Malaysia pula belum mempunyai banyak makmal standard atau kepakaran mencukupi disebabkan itu saya melihat masa depan industri ini sangat besar bernilai sehingga trilion dolar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




