#YakiniVaksin kempen kesedaran tangani mitos dan salah faham vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR – Science Media Centre (SMC) Malaysia dan surat khabar sains, The Petri Dish melancarkan #YakiniVaksin, satu projek kempen kesedaran yang bertujuan untuk melawan mitos dan salah faham tentang vaksin Covid-19.

Kempen ini disokong oleh syarikat farmaseutikal Malaysia, Duopharma Biotech Berhad sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya.

Pengasas bersama SMC Malaysia, Tan Su Lin berpendapat, ekoran dimomok oleh pelbagai mitos, teori konspirasi dan salah faham yang tersebar meluas tanpa tapisan terutama di media sosial, sebahagian rakyat masih mempunyai tahap kepercayaan yang rendah terhadap vaksin Covid-19.

“Kelajuan perkembangan proses penghasilan vaksin Covid-19 yang belum pernah terjadi sebelum ini serta lambakan salah maklumat di media sosial telah mendorong kesangsian sesetengah masyarakat terhadap vaksin ini.”

”Ketika dunia membanteras wabak Covid-19, usaha memerangi salah fakta adalah cukup kritikal, jadi melalui inisiatif ini, kami berharap dapat memperkasakan tahap kesedaran orang ramai untuk membezakan antara fakta daripada berita palsu dalam hal pengambilan vaksin Covid-19,” kata Su Lin.

Melalui #YakiniVaksin, penjelasan pakar mengenai vaksin Covid-19 akan dikumpul dan disampaikan melalui pelbagai format seperti penganjuran webinar, penulisan artikel, lembaran fakta dan infografik bagi menangkis beberapa salah faham yang lazim untuk membantu orang awam memahami vaksin itu dengan lebih baik.

Semua maklumat akan dikemaskini dalam bahasa yang mudah difahami.

Ketua Pengarang The Petri Dish, Dr Mahaletchumy Arujanan berkata:”The Petri Dish adalah satu-satunya media sains di Malaysia dan kami berasa bertanggungjawab untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai vaksin dan menyokong program vaksinasi terbesar dan yang paling kritikal dalam sejarah Malaysia”.

Katanya, tahap literasi sains dalam kalangan rakyat Malaysia adalah masih rendah sehingga ia menimbulkan bantahan atau kritikan terhadap sains.

Ini pasti memberi kesan berganda dan akan menggagalkan inisiatif kita semua untuk bebas daripada wabak ini. Justeru, kami sangat berbesar hati kerana mendapat sokongan daripada syarikat Duopharma yang turut menyokong kempen #YakiniVaksin,” kata Dr Mahaletchumy.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar berpendapat, sebagai organisasi korporat yang bertanggungjawab, kami menyokong inisiatif kerajaan untuk meningkatkan kesedaran serta pengetahuan masyarakat tentang Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Semua vaksin Covid-19 yang melepasi penilaian Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) adalah selamat dan berkesan dan mengesyorkan kepada semua rakyat Malaysia agar mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Kempen #YakiniVaksin bermula minggu lalu dengan webinar bertajuk ‘Kenali Vaksin Covid-19’, yang mana dua pakar telah dijemput untuk memperjelaskan tentang beberapa salah fakta yang tular mengenai vaksin Covid-19 dalam Bahasa Malaysia.

Mereka adalah pakar imunologi, Prof Dr Norazmi Mohd Nor, dari Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia dan pakar epidemiologi, Prof Madya Dr Malina Osman dari Universiti Putra Malaysia.

Tonton webinar PENUH di sini: https://youtu.be/K1Qb7mHJ46o – MalaysiaGazette