Barcelona, Sepanyol: Lamine Yamal mencipta dua bantuan gol dan menjaringkan satu lagi ketika Barcelona semakin menghampiri usaha mempertahankan gelaran La Liga dengan kemenangan 4-1 ke atas Espanyol pada pertembungan musuh tetangga, awal pagi tadi.
Ferran Torres meledak dua gol manakala Yamal dan Marcus Rashford turut menemui sasaran di hujung perlawanan ketika kelab Catalan itu kini sembilan mata di hadapan pencabar terdekat, Real Madrid.
Real terikat 1-1 menentang Girona kelmarin dan dengan baki tujuh perlawanan termasuk aksi El Clasico di Camp Nou bulan depan, anak buah Hansi Flick kini berada dalam kedudukan sangat selesa.
Barcelona akan berdepan Atletico Madrid awal pagi Rabu ini pada suku akhir Liga Juara-Juara dengan misi bangkit daripada ketinggalan 0-2 pada aksi pertama, namun Flick tetap menurunkan kesebelasan utama yang kuat menentang Espanyol.
Pemain tengah, Pedri Gonzalez dan pemain sayap berusia 18 tahun, Yamal beraksi sepanjang perlawanan ketika Flick tidak mahu aksi timbal balik itu mengganggu kempen liga pasukannya.
Flick menegaskan beliau tidak akan menerima sikap sambil lewa daripada pemain walaupun mereka berada dalam kedudukan kukuh.
“Setiap perlawanan perlu dimulakan dengan sikap dan mentaliti yang betul, dengan kualiti sahaja anda tidak akan memenangi apa-apa,” kata pengendali dari Jerman itu.
“Saya yakin kami boleh menjuarai La Liga tetapi ia belum selesai.”
Selepas permulaan musim yang baik, Espanyol tewas di laman sendiri kepada Barcelona dalam perlawanan pertama tahun 2026 dan sejak itu gagal mencatat kemenangan.
Mereka hampir tidak memberi tentangan apabila pasukan bimbingan Flick selesa mendahului dua gol.
Yamal mencipta kedua-dua gol Torres, termasuk sepakan penjuru yang ditanduk masuk pemain antarabangsa Sepanyol itu untuk gol pertamanya sejak Januari.
Walaupun ada yang beranggapan Flick mungkin merehatkan Yamal menjelang aksi menentang Atletico, pemain remaja itu sentiasa mahu beraksi dan menjadi kegemaran penyokong Barcelona.
Bantuan gol kedua Yamal cukup memukau apabila dia melorongkan bola cantik kepada Torres sebelum percubaan penyerang itu menewaskan Marko Dmitrovic.
“Anda sentiasa mendengar pelbagai perkara di sekeliling, lebih banyak perkara negatif berbanding positif… saya sentiasa fokus kepada diri sendiri dan terus memperbaiki prestasi,” kata Torres kepada DAZN.
© New Straits Times Press (M) Bhd



