Chattanooga: Sensasi muda Sepanyol, Lamine Yamal tidak sabar untuk kembali beraksi selepas kecederaan bagi memastikan dia mampu meninggalkan impak besar pada Piala Dunia 2026.
Perkara itu didedahkan pengarah teknikal Sepanyol, Aitor Karanka yang menyifatkan kejohanan kali ini sebagai pentas terbaik buat pemain berusia 18 tahun itu menyerlahkan kemampuannya di peringkat antarabangsa.
Yamal yang mencipta nama bersama Barcelona tidak beraksi sejak mengalami kecederaan hamstring pada 22 April lalu.
Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente sebelum ini menyatakan keyakinan bahawa pemain itu mampu pulih tepat pada masanya untuk aksi pembukaan Kumpulan H menentang Cape Verde pada Isnin depan.
Bagaimanapun, Yamal dijangka tidak diturunkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan yang akan berlangsung di Atlanta itu.
“Sudah tentu setiap pemain mahu bermain dan bagi pemain yang sedang kita bincangkan ini, anda boleh bayangkan betapa terdesaknya dia untuk kembali beraksi,” kata Karanka.
“Ini adalah Piala Dunianya dan semua pemain mahu membantu pasukan.
“Tetapi Luis dan pasukan perubatan yang akan menentukan bila masa sesuai untuk dia kembali,” katanya.
Selain Yamal, Sepanyol turut dibelenggu beberapa masalah kecederaan lain membabitkan Nico Williams dan Victor Munoz.
Ketiga-tiga pemain itu tidak mengikuti skuad ke Mexico untuk aksi persahabatan yang menyaksikan Sepanyol menewaskan Peru 3-1 pada Isnin lalu.
Juara dunia 2010 itu diundi dalam Kumpulan H bersama Cape Verde, Afrika Selatan dan Uruguay.
Kehadiran semula Yamal pastinya menjadi tonik penting buat La Roja yang memburu permulaan positif dalam usaha melangkah jauh pada kejohanan kali ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd



