Yaman terima vaksin pertama

Yaman terima vaksin pertama

ADEN: Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan Yaman, iaitu negara yang sedang dilanda perang, akhirnya menerima penghantaran pertama vaksin COVID-19, hari ini.

Menurut Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), penghantaran membabitkan 360,000 dos vaksin itu dibuat seminggu selepas jawatankuasa COVID-19 negara itu, memberi amaran mengenai darurat kesihatan awam.

“Yaman menerima 360,000 vaksin COVID-19 yang dihantar melalui kemudahan COVAX. ia adalah kumpulan pertama daripada sebahagian 1.9 juta dos akan diterima negara itu sepanjang tahun ini,” kata UNICEF melalui kenyataan, di sini.

COVAX ialah skim global yang disokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menawarkan pemberian vaksin kepada negara yang memerlukan.

AstraZeneca tiba di pelabuhan di bandar selatan Aden, iaitu ibu negara kerajaan yang diiktiraf oleh pihak antarabangsa, selepas dipindahkan dari Sanaa di utara yang dikuasai oleh pemberontak Huthi pada 2014.

Minggu lalu, Jawatankuasa COVID-19 Yaman mendesak kerajaan mengisytiharkan keadaan darurat kesihatan awam, ketika jangkitan semakin meningkat.

Jawatankuasa itu menggesa pelaksanaan sekatan separa dan penutupan dewan perkahwinan, pusat beli-belah dan masjid di luar waktu solat.

Badan amal perubatan dikenali sebagai Doktor Tanpa Sempadan (MSF) juga memberi amaran jumlah pesakit COVID-19 dilaporkan meningkat di seluruh negara.

Ketua Misi MSF di Yaman, Raphael Veicht, berkata pihaknya turut mendesak bantuan daripada negara yang sudi menyumbang dan kumpulan pakar.

“MSF melihat peningkatan yang mendadak membabitkan pesakit COVID-19 di hospital, termasuk di Aden dan beberapa bahagian lain di negara ini.

“Kami memohon semua organisasi perubatan dan kemanusiaan yang berada di Yaman untuk meningkatkan tindak balas kecemasan COVID-19 dengan pantas,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top