Yana hamil anak keempat

Yana hamil anak keempat

Kuala Lumpur: Pelakon Yana Samsudin, 40, berkongsi berita sedang hamil cahaya mata keempat dan bersyukur impian memiliki anak ramai termakbul.

Yana memberitahu usia kandungannya sudah mencecah lima bulan namun tidak mengalami alahan ‘morning sickness’ yang teruk seperti menimpanya ketika mengandungkan anak ketiga.

“Anak keempat, Alhamdulillah. Kali ini dia kurang sikit mencabar. Mencabar tapi kurang dari anak ketiga. Nombor tiga itu, saya sampai enam bulan tak boleh bangun.

“Yang ini saya masih boleh bekerja sedikit tetapi ‘morning sickness’ itu masih ada lagi,” kongsinya.

Isteri kepada pelakon Fadzil Zahari itu turut bersyukur dikurniakan zuriat keempat dalam tempoh yang cepat berbanding anak-anak sebelum ini.

Ini kerana dia memang menghidap sindrom ovari polisistik (PCOS).

“Saya kan PCOS, semua orang pun tahu saya ada PCOS. Saya nak dapat nombor satu ke nombor dua ke nombor tiga, semua selang empat tahun.

“Maksudnya saya menunggu empat tahu untuk dapatkan seterusnya. Tapi kali ini bila anak ketiga saya baru setahun setengah, saya dikurniakan anak lagi.

“Memang impian saya dan doa saya untuk anak ramai. Lebih daripada dua, tiga. Allah makbulkan. Usia saya pun dah semakin meningkat,” katanya.

Yana dan Fadzil mendirikan rumah tangga pada 13 Februari 2015.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aisy Mateen, 9, Aura Aisy Sofea, 5, dan Aisy Hakeem yang kini berusia setahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top