Yana Samsudin Terkejut Nama Suami Kena Petik, Dikaitkan Dengan Isu D*dah Ketika Tunai Umrah

Yana Samsudin Terkejut Nama Suami Kena Petik, Dikaitkan Dengan Isu D*dah Ketika Tunai Umrah

Pelakon Yana Samsudin meluahkan rasa terkejut apabila nama suaminya, pelakon Fadzil Zahari dikaitkan dengan dakwaan sebagai selebriti yang ditahan pihak berkuasa kerana memiliki dadah, seperti yang tular di media sosial sebelum ini.

Menurut Yana, ketika isu itu menjadi perbualan ramai, dia dan Fadzil serta keluarga sedang mengerjakan ibadah umrah di Tanah Suci Makkah.

“Saya anggap tuduhan ini sebagai satu dugaan untuk kami sekeluarga yang sedang menunaikan umrah, Disember lalu.

“Bagi saya, apabila kita melakukan kebaikan, Allah akan beri ujian untuk melihat bagaimana kita menghadapinya.

“Kenapa orang petik nama suami saya? Entahlah. Itu semua dugaan yang Allah berikan. Secara kebetulan, mata suami merah disebabkan alergik dengan cuaca sejuk di sana.

“Mungkin suami saya ada membuat perkongsian di media sosial ketika itu dan selepas itu, orang bertanya kerana melihat matanya merah. Akhirnya, suami kongsikan video menjelaskan matanya merah kerana alergik,” katanya.

Tambah Yana, dia menyedari tuduhan itu apabila telefon bimbitnya tidak berhenti berbunyi sewaktu sedang fokus mengerjakan umrah.

“Sebenarnya, kami sekeluarga dijemput oleh Kedutaan Arab Saudi untuk menunaikan umrah dan melawat beberapa lokasi menarik.

“Ketika tiba di Makkah sekitar jam 3 pagi dan sedang mengerjakan umrah, telefon bimbit kami tidak berhenti berbunyi.

“Setelah sampai di hotel, suami akhirnya membaca mesej dan mendapati ramai pihak telah membuat spekulasi mengenai dirinya berhubung penangkapan tersebut.

“Saya terus beritahu dia untuk abaikan perkara itu dan tinggalkan hal tersebut di Malaysia. Itu sahaja yang saya katakan kepada dia,” jelas Yana.

Terdahulu, selebriti lelaki yang ditahan polis kerana memiliki dadah jenis ganja ialah pelakon dan pelawak Along Cham.

Mengikut pertuduhan di Mahkamah Sesyen Sepang, dia didakwa memiliki bahan disyaki dadah jenis kanabis anggaran berat 58.23 gram, di sebuah rumah di Cyberjaya pada 14 Disember lalu.

Bagaimanapun Along mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan hakim menetapkan prosiding serahan laporan kimia pada 27 Januari ini.

Yana turut mengakui terkejut dengan individu sebenar yang terlibat dalam penahanan itu dan berharap situasi ini menjadi pengajaran kepada semua pihak.

“Saya hanya berharap individu yang terlibat diberi kemudahan dalam segala urusan dan semoga perkara ini menjadi pengajaran kepada semua orang,” katanya kepada XTRA.

Yana ditemui pada tayangan perdana filem Sahak Gangster di GSC IOI Damansara Mall, Kota Damansara, malam tadi.

Selepas enam tahun, Yana kembali ke layar perak membintangi filem Sahak Gangster arahan Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri terbitan Millennium Megamas Sdn Bhd yang bakal ditayangkan di pawagam bermula 9 Januari hadapan.

Selain Yana, filem ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Hariz Hamdan, Nelissa Nizam, Usop Wilcha, Mamak Puteh, Mohammad Faizzal, Razak Ahmad, Chiwan, Azlan Komeng, Acong Sweetchild dan Datuk Ahmad Tamimi Siregar.

Scroll to Top