Yang mendakwa mesti buktikan, yang bantah mesti bersumpah

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 19)

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK

MANUSIA lahir dalam keadaan fitrah, iaitu Islam. Ibu bapanya yang membentuknya untuk menjadikannya beragama yang lain. Ini mafhum sebuah hadis. Manusia juga lahir dalam keadaan tidak memikul apa-apa dosa, bersih dari liabiliti dan bebanan. Tidak seperti agama yang menganggap anak yang lahir memikul dosa warisan dari Nabi Adam, kemudian kononnya seorang nabi lain menebus dosa itu.

Dengan itu, setiap orang asalnya bebas dari apa-apa tuduhan dan dakwaan yang dibuat oleh orang lain kepadanya. Tidak kira ia melibatkan pegangan agama, maruah, harga diri, keturunan, harta dan sebagainya.

Advertisement

Apabila ada orang lain yang menuduh, mendakwa sesuatu terhadap orang lain, dia mesti mengemukakan bukti bahawa dakwaannya itu benar. Bukti mungkin dalam bentuk saksi, dokumen, barangan, peralatan dan pelbagai bentuk yang diiktiraf oleh syarak.

Jika dia dapat membuktikannya tanpa ada keraguan, dan hakim di mahkamah puas hati mengenainya, maka dakwaannya itu dibenarkan oleh mahkamah.

Sekiranya dia tidak dapat mengemukakan bukti yang dipercayai, atau pihak mahkamah tidak berpuas hati mengenainya, maka pihak satu lagi diminta bersumpah dengan nama Allah bahawa dakwaan yang dibuat oleh pihak satu lagi itu palsu dan tidak benar. Mahkamah akan memenangkannya dalam kes ini.

Inilah antara prinsip asal dan teras dalam kes melibatkan pihak-pihak bertelingkah dalam sesuatu perkara di mana satu pihak mendakwa sesuatu dan pihak satu lagi menolaknya. Istilah moden yang digunakan ialah plaintif dan defendan. Istilah syarak pula ialah المدعي (al-mudda’i) iaitu pihak yang mendakwa, dan المدعى عليه  (al-mudda’a alaih) iaitu orang yang didakwa terhadapnya.

Prinsip inilah yang ditegaskan dan diingatkan oleh Saidina Umar al-Khattab ra dalam suratnya kepada Abu Musa al-Asy’ari:

البينة على المدعي واليمين على من انكر

Keterangan/bukti ke atas orang yang mendakwa, dan sumpah ke atas orang yang membantah.

Ia sebenarnya adalah pesanan Nabi SAW agar keadilan itu ditegakkan dengan sebenar-benarnya. Nabi SAW bersabda:

لو يعطى الناس بدعواهم، لادعى رجالٌ أموال قومٍ ودماءهم، لكن البينة على المدَّعِي، واليمين على من أنكر

Maksudnya: Sekiranya seseorang diberi peluang dengan dakwaan mereka, tentu ramai yang mendakwa terhadap harta orang lain dan darah mereka, tetapi bukti ke atas orang yang mendakwa, dan sumpah ke atas orang yang membantah. (Riwayat Baihaqi dan lainnya)

Imam Nawawi berkata:

 وهذا الحديث قاعدة كبيرة من قواعد أحكام الشرع، ففيه أنه لا يُقبَل قول إنسان فيما يدعيه بمجرد دعواه، بل يحتاج إلى بينة، أو تصديق المدَّعَى عليه، فإن طلب يمين المدعى عليه فله ذلك

“Hadis ini menjadi kaedah yang besar dalam pelbagai kaedah hukum syarak. Ia menunjukkan bahawa tidak diterima perkataan seseorang dalam dakwaannya hanya semata-mata dia mendakwa. Bahkan, ia perlukan bukti/keterangan, atau orang yang didakwa itu membenarkannya. Jika dituntut sumpah dari orang yang didakwa ke atasnya, dia boleh bersumpah mengenainya.”

Islam adalah agama Persekutuan. Islam pula meliputi segenap aspek hidup, termasuk sistem undang-undang dan kehakiman. Diharap sistem perundangan dan kehakiman di Malaysia benar-benar melaksanakan prinsip keadilan seperti yang disebutkan di sini. – HARAKAHDAILY 18/11/2021

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.