am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Jentera Barisan Nasional (BN) digesa terus memberi fokus usaha meningkatkan kempen bagi meraih lebih banyak sokongan dan undi bagi memenangkan semua 56 calonnya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 11 Julai ini.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ismail Sabri Yaakob berkata, jentera BN tidak sepatutnya terlalu berfikir yang BN mungkin menang kurang daripada 40 kerusi yang dimenangi pada PRN Johor 2020.
“Walaupun sepatutnya target kita lebih, tapi saya lebih memikirkan yang kita perlu membentuk kerajaan dulu.
“Tapi, yang pentingnya kita menang dulu, kita boleh membentuk kerajaan. Itu yang paling penting.
“Dan saya yakin kita boleh membentuk kerajaan, dengan syarat kita bekerja kuat dan jangan ada perpecahan sesama sendiri.
“Jangan ada sabotaj sesama sendiri. Kalau ini berlaku kuat macam mana pun sukar untuk kita,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan walkabout di Bandar Baru Uda, di sini, malam ini.
Beliau yang juga bekas Naib Presiden UMNO berharap rakyat Johor terus memberi sokongan dan undi kepada BN bagi mentadbir Johor.
“Orang lain (parti) pernah memerintah suatu ketika dulu. Jadi, saya rasa orang Johor sedar bezanya begitu jauh sekali di antara kita (BN) dengan orang lain dari segi cara kita mentadbir negeri.
“BN lebih kepada pelaksanaan, bukan janji semata-mata tetapi janji ditepati dan dilaksanakan,” katanya.
Mengenai sokongan pengundi muda, Ismail Sabri yakin golongan itu bijak menilai dan menyedari BN lebih mampu membawa pembangunan dan kemajuan di Johor dan seluruh negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




