'Yang tak betul perangai dan sikap manusia' – Rita Rudaini

'Yang tak betul perangai dan sikap manusia' – Rita Rudaini

Kuala Lumpur: Pelakon Rita Rudaini berpendapat peraturan yang terlalu ketat di institusi pendidikan menjadi salah satu faktor penyumbang kepada isu buli.

Menurut Rita, walaupun kanak-kanak masa kini lahir dalam era yang serba moden, tingkah laku mereka kadangkala boleh membawa kesan negatif kepada diri sendiri.

“Kadang-kadang peraturan yang ketat serta tegas tak tentu fasal pun boleh buat budak-budak stres dan mula memberontak, buat hal dan kacau orang. Daripada seronok-seronok kacau terus naik taraf kepada buli.

“Ada yang tak kacau orang tetapi nak lepaskan stres dengan cara lain seperti hisap rokok atau vape. Budak-budak sekarang walaupun lahir di zaman canggih tetapi otak mereka tak secanggih budak zaman dulu.

“Budak-budak zaman dulu nak buat satu benda memang akan fikir 100 kali sambil terbayang kena libas. Budak-budak sekarang buat dahulu, nanti bila-bila lapang baru fikir,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Menurut Rita, keperibadian seseorang pelajar bermula dengan didikan ibu bapa selain pengaruh rakan sebaya.

“Didikan bermula daripada rumah. Nak tengok keperibadian seseorang, tengok dengan siapa dia berkawan.

“Ketegasan dan kekerasan berbeza, hormat dan takut mana satu pilihan,” katanya.

Dalam pada itu, Rita menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di atas tindakan pantas menamatkan pengajian pembuli yang tular baru-baru ini.

“Terima kasih Asyraf Wajdi, tindakan yang cepat walaupun benda dah jadi tahun lepas. Pihak Maktab tak patut sorok atau ambil ringan.

“Maktab tak salah, mana-mana sekolah pun sama. Yang tak betul perangai dan sikap manusia,” katanya.

Rita juga memberi teguran kepada kanak-kanak dan guru yang tidak mengambil serius dalam tanggungjawab mereka.

“Bagi yang tak nak belajar, sila keluar manakala yang dah bosan mengajar pun boleh juga keluar,” katanya.

Sebelum ini, tular video yang mengaitkan perbuatan buli membabitkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di utara tanah air.

Semalam, rakaman video berdurasi 1.31 minit tersebar di media sosial memaparkan sekumpulan pelajar lelaki menghempap kepala dan badan seorang pelajar lain di atas katil.

Remaja lelaki berkenaan turut dilihat disebat dengan tali pinggang pada bahagian punggung.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top