YaPEIM peruntuk RM12 juta bina, baik pulih rumah golongan kurang mampu

YaPEIM peruntuk RM12 juta bina, baik pulih rumah golongan kurang mampu

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) memperuntukkan sebanyak RM12 juta untuk Program Sinar Lestari bagi pembinaan rumah baharu dan baik pulih kediaman golongan kurang berkemampuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata jumlah itu membabitkan peruntukan sejak Oktober 2020 sehingga Ogos 2023 melalui pembinaan 265 rumah termasuk baik pulih dan bina baharu di seluruh negara.

Katanya, sehingga kini sebanyak 155 projek baik pulih dan 110 projek bina baharu dilaksanakan, yang mana 172 projek sudah disiapkan manakala baki 93 projek masih dalam proses pembinaan.

“Selain itu, Program Sinar Lestari dapat memberi keceriaan kepada penerima manfaat kerana menerima kediaman yang lebih selesa hasil bantuan yang disalurkan masyarakat melalui Tabung Amanah YaPEIM.

“Di Kelantan, YaPEIM dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) membina lima rumah untuk lima keluarga asnaf dengan nilai keseluruhan sebanyak RM400,000.

“Mereka menerima bantuan bina baharu kediaman berjumlah RM80,000 seorang dan kerja pembinaan rumah dijalankan kontraktor dilantik JAHEIK dan mula dibina pada 7 Disember 2023 sebelum siap sepenuhnya 5 Ogos lalu,” katanya selepas menyampaikan kunci rumah kepada kesemua penerima pada Program Sinar Lestari YaPEIM Negeri Kelantan, di Kampung Pulau Pisang, Kuala Besar, di sini, hari ini.

Mohd Na’im berkata, pemilihan dan pengesahan penerima manfaat dilakukan oleh JAHEIK bermula November tahun lalu.

“Kesemua lima penerima adalah golongan asnaf yang layak membabitkan peniaga kuih, pembuat kerek telaga, pekerja kilang kayu dan pengusaha kedai kopi dari seluruh Kelantan.

“YaPEIM juga turut memberikan bantuan tambahan iaitu pakej sokongan kelestarian perniagaan berjumlah RM3,000 seorang bagi membantu penerima manfaat memperoleh pendapatan tambahan.

“Malah, YaPEIM juga akan menyalurkan sumbangan pendidikan kepada anak-anak penerima manfaat sebagai usaha membantu mereka agar cemerlang dalam pendidikan,” katanya

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top