MELAKA: Seramai 50 asnaf dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong di sini menerima sumbangan bakul rezeki sempena Aidilfitri.
Disampaikan oleh Pengasas Yayasan Harik, Harik Fauzi, majlis tersebut turut dihadiri ADUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Menurut Harik, inisiatif kebajikan itu dilaksanakan bagi membantu meringankan beban golongan memerlukan menjelang perayaan.
“Saya turut menyokong usaha wakil rakyat tempatan dalam memastikan kebajikan rakyat di kawasan masing-masing terus terbela.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada wakil rakyat terlibat iaitu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Mohd Noor Helmy dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Azman Abdullah atas sokongan serta kerjasama penuh dalam menjayakan usaha membantu masyarakat setempat,” katanya.

Menurut Harik, sumbangan berkenaan juga merupakan permulaan bagi suku pertama tahun ini dengan tumpuan kepada bantuan asas kepada golongan asnaf.
“Bagi suku kedua tahun ini pula, yayasan berhasrat untuk menambah baik pelaksanaan program kebajikan melalui gerak kerja yang lebih tersusun dan efisien bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lebih berkesan kepada golongan sasaran.
“Selain itu, saya juga merancang untuk memperluaskan lagi pelbagai program kebajikan khususnya di Kuala Lumpur dan Melaka, selain menyasarkan beberapa negeri lain seperti Selangor dan Pahang,” katanya.
Beliau yang juga aktivis bebas berkata, dana bagi menjayakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu disalurkan melalui hasil perniagaan kopi miliknya, Kopi Pak Erik dan BR Design Sdn Bhd, selain sumbangan usahawan, Datuk Ibrahim Lim.
Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai aktiviti dan gerak kerja Yayasan Harik boleh mengikuti perkembangan menerusi platform TikTok, Harik Fauzi.




