SHAH ALAM – Yayasan MR D.I.Y melancarkan kempen larian santai sejauh 5 kilometer (km), Him & Her Health Run 2026 bagi mempromosikan kesihatan jantung dan meningkatkan kesedaran mengenai kanser dalam kalangan masyarakat.
Inisiatif kesihatan edisi sulung itu dijadual berlangsung di tiga lokasi melibatkan Pulau Pinang pada 17 Mei, Sarawak (19 Julai) dan Kuala Lumpur (18 Oktober) pada tahun ini.
Yayasan MR D.I.Y dalam kenyataan berkata, program berkenaan terbuka kepada individu seawal lima tahun ke atas, sekali gus menjadikannya sebagai platform inklusif untuk komuniti dalam menggalakkan gaya hidup lebih sihat.
“Pendaftaran kini dibuka dan akan ditutup pada 3 Mei 2026 untuk Pulau Pinang, 1 Julai (Sarawak) dan 1 Oktober 2026 (Kuala Lumpur).
“Peserta digalakkan untuk mendaftar lebih awal bagi memastikan penyertaan. Setiap peserta akan menerima kit larian santai yang merangkumi baju acara, tuala edisi terhad, topi larian, nombor bib dan pingat penamat,” katanya pada Khamis.
Ujar kenyataan itu, inisiatif berkenaan diharap memberi inspirasi kepada rakyat agar lebih proaktif menjaga kesihatan, di samping meningkatkan kesedaran mengenai penyakit jantung dan kanser.
Menurutnya, dana dikumpul menerusi program tersebut akan disalurkan kepada organisasi dan program berfokuskan kesihatan merangkumi aspek pencegahan, pendidikan, sokongan rawatan serta penjagaan pesakit.
“Antara penerima manfaat termasuk Yayasan Jantung Malaysia, Sarawak Children’s Cancer Society, Persatuan Sokongan Kanser Kanak-Kanak (CAKNE), dan Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-Anak Kanser (KIDS).
“Larian ini disokong oleh rangkaian rakan kerjasama yang kukuh, termasuk CUCKOO International (M) Berhad, Kumon Education Malaysia, Health Lane Family Pharmacy, The Mines Resorts and Hotels, Merdeka Waterfront Hotel, Delfi Marketing, Chuan Sin Sdn Bhd dan NCS Science Sdn Bhd,” ujarnya.
Tambah kenyataan tersebut, orang ramai yang berminat untuk menyertai kempen berkenaan boleh membuat pendaftaran menerusi laman rasmi di MR D.I.Y.
“Daftar sekarang di https://www.mrdiy.com/him-her-health-fun-run-2026 untuk menjadi sebahagian daripada gerakan nasional ini demi kesihatan dan kesejahteraan komuniti.
“Untuk maklumat lanjut mengenai program kelestarian dan CSR Yayasan MR D.I.Y., layari laman web yayasanmrdiy.com atau ikuti Yayasan MR D.I.Y. di Facebook, Instagram dan TikTok,” kata kenyataan tersebut.



