YBR sumbang RM24,400 kepada asnaf, anak yatim dan ibu tunggal

YBR sumbang RM24,400 kepada asnaf, anak yatim dan ibu tunggal

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyampaikan bantuan khas bernilai RM14,400 kepada 90 individu memerlukan di sekitar Sepang, Selangor sempena bulan Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutif YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, bantuan khas itu disalurkan kepada golongan anak yatim, ibu tunggal dan asnaf bagi meringankan beban serta mengeratkan silaturahim bersama mereka.

“YBR cakna dengan kekangan yang dihadapi dan berharap bantuan yang diberikan menjadi medium dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik serta memberi sinar keceriaan di bulan Ramadan.

“Ia juga sebagai membantu persiapan dalam menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Syaiful Rizal berkata, sumbangan yang disalurkan itu diharap memberi sedikit kelegaan buat penerima bantuan supaya mereka dapat menghayati keberkatan sepanjang beramal pada bulan Ramadan.

“Semoga lebih banyak program sebegini dapat diadakan dan sekali gus merapatkan lagi ukhuwah di antara organisasi luar dengan masyarakat di Sepang ini.

“YBR amat menitikberatkan golongan memerlukan bantuan terutama anak yatim, asnaf dan ibu tunggal yang kurang mendapat perhatian daripada masyarakat luar dan YBR akan sentiasa berusaha untuk memperbanyakkan lagi bantuan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top