Yew Sin-Ee Yi terkandas di separuh akhir

Yew Sin-Ee Yi terkandas di separuh akhir

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi kempunan untuk menempah slot final Terbuka Switzerland selepas tewas di tangan gandingan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dalam saingan separuh akhir, sebentar tadi.

Pada aksi yang berlangsung di St Jakobshalle Basel, Yew Sin-Ee Yi yang diletakkan sebagai pilihan ketiga tewas 19-21 di set pertama sebelum bangkit memenangi pertemuan kedua dengan keputusan 21-17.

Keputusan itu mengheret saingan ke set penentuan sebelum pilihan kedua dari India itu mencatat kemenangan 21-17 untuk melangkah ke final bertemu gandingan China, Ren Xiang Yi-Tan Qiang.

Xiang-Tan Qiang yang berada di ranking ke-21 dunia sebelum itu menewaskan gandingan England, Ben Lane-Sean Vendy di separuh akhir 21-10, 21-17 dalam tempoh 43 minit.

Untuk rekod, ini adalah kekalahan ketiga Yew Sin-Ee Yi di tangan gandingan India berkenaan dalam enam pertemuan antara mereka sebelum ini.

Kali terakhir Rankireddy-Shetty menewaskan Yew Sin-Ee Yi adalah di pentas suku akhir kejohanan sama pada 2021 dan pada ketika itu mereka mencatat kemenangan 12-21, 21-19, 21-12.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top