mhhafis@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 300 mangsa banjir di Pasir Mas, Tumpat dan Tanah Merah menerima bantuan barang keperluan asas dan makanan sumbangan Yayasan Ez Prihatin (YEZP).
Pengurus Besar YEZP Muaz Abdullah berkata, ia adalah perkongsian bersama dengan Persatuan Generasi Sejahtera (i-Sejahtera Malaysia) menerusi misi bantuan selama dua hari di lokasi terjejas banjir.
Katanya, pihaknya turut menyantuni 60 pelajar tahfiz yang turut terkesan selepas pondok tempat mereka belajar ditenggelami banjir sejak beberapa hari lalu.
“Rezeki buat kami dapat bertemu dan menyampaikan sedikit sumbangan dalam bentuk makanan ringan dan nasi yang siap dimasak kepada penghafaz al-Quran di sini.
“Moga pahala terus mengalir buat semua termasuk penderma dan mereka yang turut sama membantu,” katanya.
Muaz berkata, secara keseluruhan YEZP sudah menyampaikan bantuan segera kepada kira-kira 800 mangsa banjir, malah hari ini pihaknya turut membawa bersama ubi kayu untuk dinikmati.
“Kita ingin sama-sama berkongsi rezeki, berkongsi saat-saat sukar ini bersama. Insya-Allah, ia akan diteruskan dan kami mengharapkan lebih ramai untuk bersama-sama (membantu) apatah lagi mereka berdepan dengan gelombang kedua ketika ini,” katanya.
Setakat petang ini, data Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia merekodkan seramai 5,835 mangsa banjir di lima negeri iaitu Terengganu (5,198), Kelantan (288), Pahang (160), Johor (155) dan Perak (34).
© New Straits Times Press (M) Bhd




