YFBM komited bantu golongan terjejas banjir, tengkujuh

YFBM komited bantu golongan terjejas banjir, tengkujuh

am@hmetro.com.my

Kajang: Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) meneruskan komitmen dalam membantu komuniti yang terjejas akibat musim tengkujuh menerusi Program Susur Pulau dan Jelajah Tengkujuh YFBM 2024.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Kolonel (PA) Bersekutu Johan Halid berkata, sebanyak 600 beg barangan asas dan penjagaan diri berjaya disiapkan dalam sesi pembungkusan di Pusat Pengumpulan dan Pengagihan YFBM, di sini.

Menurutnya, ia membabitkan kerjasama 25 sukarelawan daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor.

“Sebanyak 240 beg selesai dibungkus dan akan dibawa ke tiga pulau terpencil iaitu Pulau Aur, Pulau Pemanggil dan Pulau Tinggi di Johor dan seterusnya diserahkan kepada semua keluarga yang terjejas.

“Manakala, baki 360 beg lagi akan dibawa ke Baling, Kedah untuk diserahkan kepada komuniti penoreh getah yang terkesan akibat banjir.

“Bantuan ini adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan YFBM dalam memastikan komuniti yang terjejas akibat musim tengkujuh mendapat sokongan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Susur Pulau dan Jelajah Tengkujuh 2024, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah YFBM, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Penghantaran beg barangan asas ke pulau-pulau berkenaan mendapat kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggunakan dua kapal dan bot.

Johan berkata, pada masa sama pihaknya terus komited menyediakan bantuan makanan kepada kalangan keluarga berpendapatan rendah akibat kos sara hidup yang meningkat.

Menurutnya, pihaknya juga mendapati berlaku peningkatan permintaan bakul makanan disebabkan kos barangan tinggi tidak selari dengan jumlah pendapatan.

“Pepatah memberi pancing adalah lebih baik daripada memberi ikan itu, kita perlu lihat juga pada situasi.

“Sesorang individu itu hidup dalam kemiskinan bukan disebabkan pilihan sendiri. Kadangkala dia tidak mempunyai peluang dan ilmu untuk mengubah hidup mereka. Jadi, tugas kita untuk memberitahu cara untuk berdikari serta bantuan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mengumpul barangan makanan yang masih elok dimakan iaitu lebihan makanan bermasak tidak disentuh daripada hotel dan restoran serta industri pembuatan untuk diedarkan kepada golongan B40 dan gelandangan.

“Cabaran terbesar yang dihadapi oleh pihak kami adalah kos untuk menguruskan lebihan makanan sangat tinggi. Dari segi pengurusan logistik, kami memerlukan lori, kakitangan serta sukarelawan. Untuk mencari dana bagi menampung operasi menyelamatkan makanan itu agak sukar.

“Contohnya, makanan tenusu seperti keju memerlukan ‘chiller’ untuk disimpan supaya tidak rosak, manakala makanan lebihan bermasak daripada restoran yang dibungkus pada 11 malam memerlukan kakitangan untuk diedarkan kepada penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) dengan segera,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top