bhnews@bh.com.my
SHAH ALAM: Sejumlah RM775,800 sumbangan Aidilfitri disalurkan kepada 7,758 anak yatim di bawah Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) di sembilan daerah di Selangor.
Pengurus Besar YIDE, Nur Mohd Razali Abdullah, berkata sumbangan itu dikreditkan melalui kaedah pindahan dalam talian ke setiap akaun bank anak yatim susulan pandemik COVID-19.
Beliau berkata, setiap anak yatim menerima RM100 hasil sumbangan orang ramai, syarikat korporat, anak syarikat kerajaan negeri serta sumbangan tetap daripada akaun Tabung Amanah Anak Yatim, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
“Program penyerahan sumbangan bersama Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah juga dibatalkan pada tahun ini dalam mengekang penularan COVID-19 dan faktor keselamatan.
“Bagaimanapun, terdapat kes terpencil seperti penjaga dan anak yatim tiada akaun bank dengan pegawai YIDE turun padang menyerahkan sendiri melalui serahan tangan bagi memastikan mereka turut merasai sumbangan yang diberikan,” katanya dalam kenyataan.
Sumbangan kepada anak yatim membabitkan sembilan daerah iaitu Klang sebanyak 1,508 orang, Hulu Langat (1,392), Petaling (1,155), Gombak (1,057) dan Kuala Selangor (841).
Selain itu, Kuala Langat (543), Hulu Selangor (527), Sabak Bernam (392) dan Sepang (343).
Nur Mohd Razali berkata, yayasan itu juga mengajak orang ramai dan syarikat korporat memuliakan anak yatim dengan terus menyumbang melalui platform pembayaran atas talian melalui Billplz: https://yide.com.my/donations/infaq-dana-anak-yatim/ , juga melalui Jom Pay (Biller Code: 81059 dan aplikasi Snap and Pay.
© New Straits Times Press (M) Bhd