norhayati_nordin@hmetro.com.my
Petaling Jaya : Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) bakal memasukkan nama pelakon dan pelawak veteran, Sathiya, 62, sebagai penerima terbaharu bantuan pencen RM500 yang kini masih dalam pertimbangan pihak persatuan.
Pengerusi YKAT, Datuk DJ Dave berkata, Sathiya didapati layak untuk mendapatkan bantuan itu disebabkan faktor usianya serta masalah kesihatan dihidapi iaitu darah tinggi dan diabetes sehingga kaki kirinya terpaksa dipotong hingga ke atas paras lutut, Isnin lalu.
“Saya di YKAT ambil maklum mengenai keadaan Sathiya yang sakit dan kaki kirinya juga dipotong lagi serta kini masih mendapat rawatan di Hospital Ampang. Insya-Allah, beliau layak untuk jadi penerima pencen seterusnya.
“Tetapi buat masa ini keadaan kesihatan Sathiya masih dalam pertimbangan YKAT kerana kami perlu memastikan mempunyai dana mencukupi untuk terus membantu artis veteran kita,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau berkata demikian selepas majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada artis veteran tanah air anjuran YKAT di sebuah hotel di sini, semalam.
Menurut DJ Dave, pemberian bantuan pencen bulanan itu dilaksanakan YKAT sejak 14 tahun lalu iaitu mulai 2012 bagi menyalurkan bantuan kepada penggiat seni veteran yang benar-benar memerlukan.
Katanya, antara penerima pencen RM500 sedia ada termasuklah Zaiton Sameon, Mat Sentul, Zainal Rampa, Alfred Ho dan Dr Sam.
“Bagaimanapun seperti yang saya katakan, ketika ini nama Sathiya masih dalam pertimbangan kami untuk disenaraikan sebagai penerima kelapan berikutan keadaan kesihatannya yang mungkin tidak mampu bekerja,” katanya.
Dalam pada itu, DJ Dave berharap pihak kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian peruntukan bagi membolehkan YKAT terus membantu penggiat seni veteran yang memerlukan.
Beliau mendedahkan sejak lapan tahun lalu iaitu mulai 2019, YKAT tidak lagi menerima sebarang sumbangan daripada kerajaan walaupun beberapa kertas cadangan permohonan dana sudah dikemukakan.
“Jadi sepanjang tempoh itu, YKAT banyak melaksanakan aktiviti dan program kebajikan bagi mengumpul dana sendiri. Tahun lalu kami mengadakan majlis makan malam dan berjaya mengumpulkan kira-kira RM300,000 hasil jualan meja.
“Menerusi dana itulah, kami masih boleh menjalankan pelbagai program kebajikan seperti sumbangan musim perayaan serta bantuan berkala andai ada penggiat seni ditimpa musibah,” katanya.
Pada majlis itu, seramai 17 artis veteran menerima sumbangan berjumlah RM1,000 setiap seorang yang membabitkan peruntukan RM17,000 daripada dana yayasan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




