mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Yayasan Kebajikan Artis Tanah air (YKAT) meneruskan tradisi mereka menyerahkan sumbangan sempena perayaan Krismas dan Tahun Baharu Cina kepada 15 artis veteran berusia 60 tahun ke atas.
Penerima sumbangan terdiri daripada pelakon, pemuzik, komposer dan penyanyi merangkumi tujuh artis Cina antaranya penyanyi Yap Kim Koy, 73, empat artis Melayu antaranya Liza Abdullah, 61, dan empat artis India antaranya C Nalalingam, 67.
Pengerusi YKAT, Datuk DJ Dave berkata, sumbangan ini bertujuan meraikan insan seni terbabit sebagai tanda penghargaan mereka di dalam industri seni tanah air.
“Program ini juga adalah pembuka tirai aktiviti tahunan YKAT. Mereka masing-masing menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM1,000 setiap seorang.
“Dalam keadaan ekonomi sekarang, ramai insan seni yang berada dalam situasi genting bagi meneruskan kehidupan harian. Ini kerana mereka tidak mempunyai gaji bulanan yang tetap sebagai sumber pendapatan.
“Pelbagai bentuk bantuan boleh diberikan kepada insan seni ini. Justeru YKAT turut mengambil beberapa langkah dan dalam usaha menjayakannya,” katanya ditemui di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Pemegang Amanah YKAT iaitu Datuk Nash, Datuk Nancie Foo dan Dr. S. Kanagarajan.
Pada masa sama, DJ Dave mengharapkan usaha mereka mendapat sokongan dari pelbagai pihak baik dari segi tajaan dana serta lain-lain agar YKAT terus-menerus menjaga kebajikan artis-artis tanah air.
“Walau bagaimanapun, aktiviti seperti bantuan bulanan, sumbangan setiap kali perayaan umum di Malaysia, sumbangan sakit dan sumbangan kematian tetap diteruskan oleh YKAT seperti kebiasaannya.
“Beberapa aktiviti sudah dirangka oleh pihak YKAT bagi terus menjaga kebajikan artis tanahair,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




