“KALAU dia nak kalahkan saya, mungkin dia perlukan keajaiban.”
Demikian amaran awal bintang sensasi Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar menjelang pertarungan menentang wakil Jepun, Shimon Yoshinari di pentas ONE Samurai 1 di Ariake Arena, Tokyo esok (1.30 petang waktu Malaysia).
Pada usia 19 tahun, Johan atau mesra disapa Jojo sudah mencipta reputasi sebagai antara prospek ONE Championship paling mencuri perhatian dalam divisyen flyweight Muay Thai.
Malah, rekodnya yang masih belum pernah tewas secara knockout (KO) menyuntik keyakinan Johan menjelang pertemuan dengan Yoshinari yang sebelum ini disebut-sebut sebagai pilihan untuk menang di laman sendiri.
Menurut Johan, status underdog tidak memberi kesan kerana segala-galanya akan ditentukan di dalam gelanggang.
“Kalau dia nak kalahkan saya, dia perlukan banyak perkara… mungkin sesuatu yang hampir mustahil.
“Saya tak nampak ia akan berlaku,” katanya.
Johan turut membalas kenyataan Yoshinari yang berhasrat menjadi individu pertama menumbangkannya secara KO.
“Itu apa yang dia kata. Tapi kalau ada sesiapa nak knockout saya, bukan dia,” katanya lagi.
Pertarungan di Tokyo ini dianggap antara ujian paling getir dalam karier Johan, namun dengan mentaliti ‘agi idup agi ngelaban’, petarung dari Kuching, Sarawak itu percaya beliau memiliki segala ramuan untuk mencipta kemenangan besar.
Kemenangan dalam pertarungan kali ini dilihat mampu melonjakkan Johan ke kelompok lima terbaik divisyen berkenaan, sekali gus menghampirkan dirinya kepada peluang merebut kejuaraan dunia ONE Championship.
Johan kali terakhir beraksi pada Februari lalu apabila menewaskan wakil Myanmar, Ye Yint Naung menerusi keputusan sebulat suara pada ONE Friday Fights 141 di Stadium Lumpinee, Bangkok.
Sepanjang 11 penampilan di ONE Championship, Johan mencatat lapan kemenangan termasuk lima KO dan satu technical knockout (TKO), selain tiga kekalahan.
Sementara itu, Yoshinari, 21, bukan lawan mudah dengan rekod profesional 24 kemenangan dan hanya satu kekalahan dalam karier Muay Thai.
Dalam ONE Championship, beliau meraih empat kemenangan daripada lima pertarungan, termasuk dua keputusan sebulat suara dan dua kemenangan TKO.



