rizar@mediaprima.com.my
Johor Bahru: Skuad remaja negara akhirnya meraih kemenangan pertama selepas menewaskan New Zealand 4-2 dalam Kejohanan Antarabangsa Hoki Bawah 21 (B-21) Piala Sultan Johor (SOJC) edisi ke-13 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, di sini, sebentar tadi.
Ketua jurulatih Nor Saiful Zaini Nasiruddin menegaskan kemenangan yang diraih hasil perancangan yang dibuat dan pemain juga memahami apa yang dikehendaki dalam perlawanan itu, namun ada perkara yang tidak sepatutnya berlaku apabila pemain tampak hilang konsentrasi di penghujung permainan.
“Ketika kita mendahului 3-0 dan terlepas beberapa peluang menambah gol membuka ruang untuk New Zealand melakukan kebangkitan malah senario itu agak menggusarkan kerana pemain tidak pandai untuk mematikan gerakan pemain lawan.
“Kita ada peluang terutama Harris (Iskandar Osman) untuk jaringkan gol lagi, situasi itu kita belajar kerana enggan sepanjang suku keempat permainan perlu bertahan sahaja dan apabila lawan mendapat dua gol dalam keadaan kita tertekan oleh itu kita kena kaji semula bagi mengelak ia berulang.
“Pemain kena tahu apabila mendahului harus beraksi dengan tenang dan mengawal permainan malah usaha untuk tambah gol dan sekali gus mengakhiri perlawanan dengan kemenangan dan mujur corak power play New Zealand beri peluang kita jaringkan gol,” kata Nor Saiful Zaini.
Dalam aksi yang penuh dramatik, peluang terbaik Young Tigers membuka tirai jaringan hadir pada babak pertama suku pertama di minit ke-13 namun pukulan sudut penalti yang dilakukan Azimuddin Shakir Kamaruddin berjaya dihadang penjaga gol Black Sticks, Hugh Nixon.
Sebaik suku kedua bermula, Young Tigers mengejutkan skuad kendalian Mike Delaney apabila Ammar Qusyairi Abd Halim pantas mengumpan bola membuka ruang buat P Naaveenesh menolak bola di celah kaki Nixon untuk gol pertama tuan rumah.
Serang balas Young Tigers menyaksikan gol kedua menjelma pada minit ke-19 dan Naaveenesh mencetak gol kedua peribadi hasil gol padang berpunca daripada bola umpanan Danish Aiman Khairul Anuar untuk menewaskan Nixon.
Danish Aiman sekali lagi menjadi pencetus gol ketiga Young Tigers selepas gerakan menarik di posisi sayap kanan bertindak pantas memukul bola ke dalam kawasan D dan Ammar Qusyairi pantas menampan bola menewaskan Nixon.
Bersambung babak kedua di suku ketiga perlawanan, skuad Black Sticks meraih tiga pukulan sudut berturut-turut pada minit ke-39 namun masih belum mampu menembusi gawang Young Tigers yang dikawal rapi penjaga gol, Haziq Muizuddin Hairul Mizan.
Usaha berterusan anak didik Delaney mengurangkan defisit jaringan membuahkan hasil pada minit ke- 44 selepas `set piece’ pukulan sudut penalti Jakarta Klebert tepat kepada Javahn Jones yang menampan bola mengelirukan Haziq Muizuddin dan gagal mengelak gawang dibolosi.
Kesilapan lama terus menghantui Young Tigers selepas begitu mudah menghadiakan pukulan sudut penalti dan kesempatan itu digunakan sepenuhnya anak didik Delaney untuk merapatkan jurang gol apabila Rocco Ludoph menjaringkan pada minit ke-47 bagi kedudukan 2-3.
Namun, Danish Irfan Muhammad Saufi menjarakkan lagi kedudukan apabila menolak bola ke gawang terbuka bagi memastikan kemenangan 4-2 memihak Young Tigers.
Sementara itu, juara bertahan, Britain tampak semakin sukar untuk mempertahankan kejuaraan SOJC musim lalu selepas tewas 2-0 kepada Australia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




