Young Tigress akur tamat di tempat keenam

PETALING JAYA: Skuad hoki wanita remaja negara terpaksa akur di tempat keenam Piala Asia Remaja Wanita 2026 selepas tewas 1-2 kepada Bangladesh dalam aksi penentuan tempat kelima dan keenam di Moqi, China, sebentar tadi.

Malaysia bermula dengan baik dan cuba mengawal permainan bagi mencari gol pembukaan, namun Bangladesh lebih berkesan memanfaatkan peluang yang dimiliki.

Usaha Bangladesh akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-31 apabila Sharika Rimon menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk meletakkan pasukannya di depan 1-0.

Ketinggalan satu gol tidak mematahkan semangat Malaysia yang terus meningkatkan tekanan sebaik memasuki babak kedua dalam usaha mengubah keputusan perlawanan.

Bagaimanapun, Bangladesh sekali lagi menghukum pertahanan Malaysia apabila Kona Akter menjaringkan gol padang pada minit ke-50 untuk menggandakan kelebihan kepada 2-0.

Anak buah Mohd Nasihin Nubli Ibrahim terus melancarkan serangan bertali arus dan akhirnya memperoleh gol yang dicari menerusi Irdina Humaira Jeffrey pada minit ke-59 untuk merapatkan jurang kepada 1-2.

Baki permainan menyaksikan Malaysia berusaha keras mencari gol penyamaan, namun Bangladesh kekal bertahan untuk memastikan kemenangan 2-1 sekali gus menamatkan saingan di tempat kelima.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia terpaksa berpuas hati di kedudukan keenam, sekali gus menutup kempen Piala Asia Remaja Wanita 2026 dengan kekecewaan selepas gagal menamatkan kejohanan dalam kelompok lima terbaik.-UTUSAN

Scroll to Top