Bangkok: Seorang YouTuber terkenal, PEACHII, mendedahkan bagaimana dia dikenakan bayaran 4,000 baht (kira-kira RM520) untuk hidangan telur dadar ketam yang sepatutnya berharga 1,500 baht (kira-kira RM194), lapor Bangkok Post.
Insiden di restoran berbintang Michelin, Raan Jay Fai itu kemudiannya disiasat oleh Jabatan Perdagangan Dalam Negeri.
Akibatnya, restoran terbabit didenda 2,000 baht (kira-kira RM259) di bawah Akta Harga Barangan dan Perkhidmatan kerana tidak memaparkan harga produk dengan jelas.
PEACHII berkata, beliau makan di restoran itu bersama dua rakannya termasuk seorang “rakan senior” yang membuat semua pesanan.
Katanya, kakitangan restoran tidak menyebut sebarang menu istimewa atau telur dadar ketam premium semasa pesanan dibuat.
Apabila bil tiba, mereka terkejut apabila mendapati harga telur dadar itu dicaj 4,000 baht.
Seorang kakitangan kemudian menjelaskan bahawa telur dadar itu mengandungi isi ketam dari “sumber yang lebih baik” berbanding versi standard.
PEACHII berpendapat amalan itu tidak adil kepada pelanggan dan kurang telus lalu mendorongnya untuk berkongsi pengalaman itu di platform X, yang kemudiannya menjadi tular.
Rakan seniornya kemudian bertanya terus kepada cef Jay Fai dan diberitahu bahawa caj itu adalah untuk hidangan “VVIP” yang disediakan khas untuk pelanggan setia.
PEACHII menegaskan bahawa dia gembira untuk membayar harga itu sekiranya dimaklumkan terlebih dahulu dan hantarannya hanyalah untuk berkongsi pengalaman.
Hantaran itu menarik lebih lapan juta tontonan dalam masa 13 jam dengan rakan seniornya menyatakan kekesalan kerana Jay Fai tawar hati akibat salah faham itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd