Nagoya: Juara Olimpik dua kali, Carlos Yulo akhirnya melengkapkan koleksi kejuaraan utamanya selepas meraih emas senaman lantai gimnastik di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.
Yulo mencatat 14.666 mata untuk muncul juara, sekali gus melengkapkan koleksi gelaran Olimpik, dunia, Asia dan Sukan SEA yang diraihnya sepanjang karier.
Gimnas Filipina berusia 26 tahun itu sebelum ini mencipta sejarah sebagai atlet pertama negaranya memenangi lebih daripada satu pingat emas di Sukan Olimpik selepas menjuarai acara senaman lantai dan melombol di Paris 2024.
“Dengan adanya pingat ini dalam koleksi saya, semuanya sudah lengkap,” kata Yulo yang akan memburu emas kedua dalam acara melombol, Jumaat ini.
“Kita boleh berehat dan berharap yang terbaik untuk esok. Saya akan pastikan saya menikmati pertandingan esok.
“Saya benar-benar terharu sekarang. Saya masih belum dapat memprosesnya,” katanya.
Kejayaan itu turut melakar sejarah apabila Yulo menjadi gimnas Filipina pertama memenangi pingat emas Sukan Asia.
“Ia terasa seperti Olimpik bagi saya. Ini kali pertama saya memenangi Sukan Asia dan saya sangat gembira serta teruja untuk pulang dan berkongsi berita gembira ini dengan rakyat Filipina,” katanya.
Sementara itu adiknya, Karl Yulo turut beraksi dalam final senaman lantai yang sama tetapi terpaksa berpuas hati di tempat ketujuh.
© New Straits Times Press (M) Bhd
