Penerbit dan pengarah filem Box Office, Sembilu, Datuk Yusof Haslam mengambil keputusan membatalkan percutiannya bersama keluarga keluar negara seperti yang dirancang baru-baru ini.
Katanya, keputusan dibuat dek kerana memikirkan situasi banjir yang menimpa rakyat Malaysia sekaligus menganggap adalah tidak manis dan sesuai untuk menggunakan masa ini pergi bercuti.
” Tak pergi mana-manalah. Dalam keadaan hujan dan banjir yang berlaku menyebabkan rakyat Malaysia pun muram. Jadi, kami sekeluarga buat keputusan batalkan perancangan percutian.
“Untuk tahun ini kita berehatlah. Kita tangguhkan dulu dan pada tahun depan pun kita belum fikirkan lagi, fikir kemudian nanti.
“Kita nak pergi seronok-seronok bercuti pun tak selesa sebab mengenangkan ada kawan-kawan dan staf Skop Productions yang kediaman mereka tenggelam akibat banjir di Kelantan. Jadi, lebih baik duit yang ada itu disedekahkan untuk bantu mereka.
“Jadi, kali ini pun saya rasa tak manislah untuk kita sekeluarga ke luar negara bercuti sebab ada antara staf syarikat saya yang bersedih kerana ditimpa musibah berkenaan. Lebih baik saya bantu mereka saja,” katanya kepada pemberita.
Dalam pada itu, pihaknya juga bercadang untuk melakukan aktiviti bantuan sumbangan apabila keadaan banjir semakin pulih.
Sumber: Harian Metro




