Yusof Haslam Tawar Sumbangan RM380,000 Kepada Mangsa Letupan Gas Di Putra Heights

Yusof Haslam Tawar Sumbangan RM380,000 Kepada Mangsa Letupan Gas Di Putra Heights

Penerbit dan pengarah tersohor tanah air, Datuk Yusof Haslam, menyatakan komitmennya untuk menyumbang sebanyak RM380,000 kepada mangsa tragedi letupan paip gas di Putra Heights, Selangor, sekiranya filem aksi terbaharu terbitannya, Blood Brothers: Bara Naga, berjaya mencapai kutipan melebihi RM60 juta.

Menurut Yusof, keputusan itu dibuat atas dasar simpati terhadap mangsa yang terjejas, termasuk beberapa rakan kenalan beliau sendiri yang turut mengalami kerugian akibat insiden berkenaan.

“Ketika filem ini sedang menunggu tarikh tayangan, insiden letupan gas berlaku. Saya sangat tersentuh apabila mendapat tahu beberapa rumah kenalan turut rosak dalam kejadian itu,” katanya.

Beliau turut menjelaskan hasrat tersebut tercetus selepas melihat keprihatinan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada mangsa tragedi.

“Saya berbincang dengan isteri dan kami sepakat sekiranya filem ini mencatat kutipan lebih tinggi daripada Sheriff: Narko Integriti, kami akan menyalurkan sumbangan sebanyak RM380,000 sebagai tanda keprihatinan. Insya-Allah, kami merancang untuk melaksanakannya hujung bulan ini,” katanya.

Yusof berkata sumbangan berkenaan akan disalurkan melalui saluran yang sah dan diyakini, seperti tabung khas kendalian TV3 atau menerusi kerjasama pihak berkuasa tempatan.

Sebagai penggiat seni yang berpengalaman luas dalam industri perfileman negara, Yusof menegaskan setiap rezeki yang diperoleh adalah juga sebahagian daripada amanah untuk membantu mereka yang memerlukan.

“Apabila Allah SWT mengurniakan rezeki, sebahagiannya adalah hak orang lain. Kita ada tanggungjawab sosial. Sepanjang Ramadan baru-baru ini, ada yang datang ke rumah memohon bantuan, ada dalam kesempitan hidup, ada berhutang dengan ceti. Selagi mampu, saya bantu seikhlas hati,” tambahnya.

Usaha beliau nampaknya semakin hampir menjadi kenyataan apabila Blood Brothers: Bara Naga berjaya mencatat kutipan mencecah RM62 juta dalam tempoh hanya 20 hari tayangan, sekali gus memecah rekod filem terdahulu, Sheriff: Narko Integriti.

Sumber: Berita Harian

Scroll to Top