Yusri pertahan anak buah selepas jadi 'lauk'

bhsukan@bh.com.my

MELAKA: “Jangan tunduk dan terus bangkit kerana bola sepak bukan sesuatu yang mudah buat pemain muda, tambahan kesemuanya masih baharu dalam liga di negara kita,” kata jurulatih Skuad Projek FAM-MSN, Yusri Che Lah selepas pasukannya dibelasah 1-7 kepada Sarawak United di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.

Justeru, nasihatnya mereka perlu bekerja lebih keras kerana liga ini menjanjikan saingan cukup baik terutama pendedahan yang amat positif dalam aspek pembangunan.

Apapun, dia mengakui tidak berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan pemainnya yang berubah berbanding aksi terdahulu ketika mengikat Kuching FC.

Menurutnya, walaupun keputusan berkenaan memang berat untuk diterima kerana pemain sekali lagi berdepan situasi terlalu menghormati lawan, menyebabkan sedikit sebanyak kegugupan berlaku sepanjang perlawanan, namun dia tetap positif terhadap masa depan pemain projek terbabit.

Beliau berkata, jika dilihat gol yang diperoleh lawan semuanya hasil kesilapan yang dicipta sendiri oleh pemainnya sepanjang 90 minit permainan.

“Situasi yang berlaku dalam pusingan pertama Liga Perdana itu pastinya sesuatu yang amat mengejutkannya kerana keyakinan sebelum ini tidak menjelma dalam perlawanan kali ini.

“Malah kami membariskan barisan sama ketika berdepan Kuching FC. Namun sikap terlalu hormat pemain tuan rumah menjadi antara punca dua gol awal berlaku dalam tempoh dua minit menyebabkan moral pemain dan pasukan terjejas,” katanya.

Apapun, dia tetap memberi kredit kepada anak buahnya yang berjaya memecahkan rekod kebal gawang Sarawak United yang tidak pernah bocor sebelum ini, walaupun sebenarnya di awal permainan skuad projek berjaya menguasai perlawanan dengan baik.

Baginya, kealpaan yang berlaku menyebabkan sisa perjuangan pada babak pertama dan selepas jaringan sagu hati dihasilkan pada episod kedua akhirnya membawa padah jaringan besar buat lawan.

Yusri berkata, pemainnya diakui tetap agresif untuk memberikan yang terbaik terutama terpaksa mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh seminggu.

© New Straits Times Press (M) Bhd