Zach Clough sedia galas cabaran baharu bersama Selangor

Zach Clough sedia galas cabaran baharu bersama Selangor

PEMAIN import baharu Selangor FC, Zach Clough menyatakan kesediaannya untuk menggalas cabaran baharu bersama skuad Gergasi Merah dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Pemain tengah berasal dari England itu mengakui teruja menyertai Selangor FC dan berazam menyesuaikan diri secepat mungkin bersama pasukan.

Saya akan fokus untuk menyesuaikan diri dengan cepat dengan bekerja keras, bergaul dengan rakan sepasukan, dan memahami apa yang dimahukan oleh barisan jurulatih.

“Saya juga mempunyai pengalaman bermain di bawah beberapa pengurus di kelab yang berbeza sebelum ini.

“Pengalaman tersebut telah membentuk diri saya, dan saya percaya ini akan membantu saya untuk bersedia menghadapi cabaran baharu di Selangor ini dan memberikan segala-galanya untuk pasukan,” katanya.

Clough, 30, yang juga bekas pemain Adelaide United FC berkata, pemilihannya untuk bermain di Malaysia bukan hanya soal bola sepak, tetapi juga satu pengalaman hidup yang berharga.

“Sukan bola sepak satu permainan yang bergerak dengan pantas, saya rasa baru sahaja berusia 18 tahun semalam, dan sekarang saya sudah berusia 30 tahun.

“Sejujurnya, ini membantu saya untuk menghargai perjalanan hidup dan menikmati setiap saat yang ada dengan baik.

“Dalam masa yang sama, datang ke Malaysia dan sertai Selangor FC bukan sekadar keputusan untuk bola sepak, tetapi ini akan menambah pengalaman yang bermakna dalam hidup saya.

“Peluang seperti ini tidak selalu datang, dan saya mahu manfaatkannya dengan baik, terutamanya untuk diri saya sendiri, keluarga dan para penyokong,” katanya.

Sebelum ini, Selangor FC mengumumkan Clough sebagai pemain import kelima pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia, ACL 2 dan Kejohanan Kelab ASEAN musim hadapan.

Clough memulakan karier profesionalnya bersama Bolton Wanderers dan menjaringkan 23 gol dalam 77 penampilan.

Beliau turut beraksi bersama Nottingham Forest, Wigan Athletic dan Carlisle United sebelum berhijrah ke Liga-A Australia.

Sepanjang tiga musim bersama Adelaide United, Clough membuat 93 penampilan dan menjaringkan 22 gol selain dinobatkan sebagai Pemain Terbaik musim 2023/24.

Scroll to Top