Zahid Tak Setuju ‘Tebuk Atap’, Kerajaan Perpaduan NS Kekal – Anthony Loke

Zahid Tak Setuju ‘Tebuk Atap’, Kerajaan Perpaduan NS Kekal – Anthony Loke

Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan kekal berfungsi seperti biasa tanpa sebarang perubahan terhadap pentadbiran sedia ada, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, pendirian itu selaras dengan keputusan UMNO di peringkat pusat yang terus menyokong kerajaan negeri walaupun 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menurutnya, perkara itu telah dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi parti, termasuk melalui kenyataan rasmi Biro Politik UMNO.

“Biro Politik UMNO telah mengeluarkan kenyataan bahawa masih kekal menyokong Kerajaan Perpaduan.

“Malah, dalam Kabinet semalam (Rabu), Presiden UMNO juga menyatakan pendirian sama, maksudnya Presiden UMNO sendiri tidak setuju penubuhan kerajaan baharu ataupun ‘tebuk atap’.

“Jadi, ini bermaksud Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan kekal, untuk memastikan kestabilan dan kelangsungan perjalanan pentadbiran di peringkat negeri,” katanya.

Anthony ditemui media selepas menyampaikan ucapan di Forum Pembaca China-Malaysia Mengenai Naskhah Edisi Bahasa Inggeris Xi Jinping: ‘The Governance of China’ (Jilid Kelima) di Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, situasi politik Negeri Sembilan menjadi perhatian selepas 14 ADUN UMNO dan BN dilaporkan menarik sokongan terhadap Aminuddin, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai kedudukan kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut menegaskan tiada keperluan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana pentadbiran negeri masih boleh diteruskan sementara proses perundangan diselesaikan.


Scroll to Top