Zahid tidak minat jadi PM, cadang bentuk 'War Cabinet'

Zahid tidak minat jadi PM, cadang bentuk 'War Cabinet'

ahmad.suhael@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mencadangkan pembentukan kerajaan baharu yang stabil dengan Kabinet berkesan mirip seperti ‘War Cabinet’, yang hanya memberi fokus terhadap proses pemulihan negara mendepani pandemik COVID-19.

Ahmad Zahid turut menegaskan beliau tidak berminat menamakan dirinya sebagai calon Perdana Menteri walaupun mengepalai sebuah parti terbesar di Malaysia, sebaliknya akan mempertimbangkan beberapa calon lain yang sesuai.

Beliau berpandangan, kerajaan yang perlu ditubuhkan segera itu perlu dihadkan untuk satu tempoh yang munasabah, dengan fokus menangani pandemik COVID-19 dan menguruskan isu kesejahteraan rakyat.

“Bagi tujuan ini, sebuah kabinet yang efektif mirip seperti ‘War Cabinet’ yang hanya memfokuskan proses pemulihan negara mendepani pandemik hendaklah dibentuk.

“Setelah negara mencapai imuniti kelompok dan keadaan memungkinkan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan, maka kerajaan ini harus dibubarkan bagi menyerahkan semula mandat mutlak kepada rakyat.

“Bagi menjamin kestabilan dan kerjasama politik dicapai, tindakan menzalimi parti dan pimpinan lawan hendaklah dihentikan.

“Menggunakan agensi kerajaan untuk melemahkan lawan dalam mengekalkan kuasa tidak akan memberi apa-apa faedah kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, menegaskan kecewa dengan dakwaan beliau mahu merebut jawatan Perdana Menteri, yang dilemparkan sepanjang kemelut politik melanda.

“Demi kepentingan rakyat dan negara, ketahuilah, saya tidak pernah terlintas untuk menamakan diri saya sebagai calon Perdana Menteri walaupun mengepalai sebuah parti terbesar.

“UMNO sebagai sebuah parti yang mempunyai pengalaman luas dan panjang dalam mentadbir negara, akan mempertimbangkan beberapa calon.

“Sehubungan itu, saya mengharapkan kerjasama serta sokongan semua Ahli Parlimen. Saya ingin menyeru kepada seluruh ahli dan kepimpinan UMNO di semua peringkat untuk mengenepikan segala perbezaan dan kembali bertaut demi menjayakan agenda rakyat dan negara ini,” katanya.

Terdahulu, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri berkuat kuasa serta-merta.

Krisis politik yang berlaku ketika ini hampir sama seperti yang berlaku pada Februari tahun lalu, yang menyaksikan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan 11 Ahli Parlimen PKR menarik sokongan kepada Pakatan Harapan (PH).

Ketika itu, bagi memilih Perdana Menteri baharu dan mengelak pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) ketika pandemik, Yang di-Pertuan Agong memanggil Ahli Parlimen untuk mengetahui individu disokong untuk menjadi Perdana Menteri baharu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top