mdroji@bh.com.my
Kuching: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mewakili Kerajaan Persekutuan menziarahi keluarga Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, susulan pemergian isterinya, Allahyarham Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang.
Ahmad Zahid berkata, beliau mengenali Allahyarham sebagai seorang wanita yang lemah lembut, penuh budi pekerti serta amat dekat dengan kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan, khususnya dalam memperkasa wanita dan komuniti di Sarawak.
Menurutnya, kehilangan Allahyarham bukan sahaja dirasai oleh keluarga terdekat, malah turut diratapi oleh seluruh rakyat Sarawak yang amat menghargai jasa dan sumbangan beliau selama ini.
“Pemergian insan tercinta yang telah menjadi teman hidup setia, pendamping dalam suka dan duka serta penyokong utama dalam perjalanan Premier Sarawak pastinya satu kehilangan yang amat besar dan mendalam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Zahid turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.
“Semoga Premier Sarawak dan seluruh keluarga dikurniakan kekuatan, ketabahan serta reda dalam menghadapi saat yang penuh ujian ini,” katanya.
Allahyarham Juma’ani menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.34 pagi di Pusat Perubatan Normah, di sini pada usia 76 tahun.
Majlis penghormatan terakhir akan diadakan di Masjid Jamek, Petra Jaya, bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari, hari ini.
Jenazah Allahyarhamah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang, Petra Jaya.
© New Straits Times Press (M) Bhd