Zaidi bekas penyampai radio berdepan masalah buah pinggang kronik

Zaidi bekas penyampai radio berdepan masalah buah pinggang kronik

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas penyampai radio Best 104 dan Sinar FM, Zaidi Zainal kini berdepan masalah kerosakan buah pinggang kritikal iaitu tahap empat hingga lima dan memerlukan rawatan segera.

Berita sedih ini dimaklumkan oleh penyampai radio Suria FM iaitu Bob Ringgo kepada media serta menerusi media sosialnya apabila bertindak melancarkan Solidariti Buat Zaidi Zainal: Bersama Kita Hulurkan Bantuan.

“Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua rakan sahabat. Hari ini, kita ingin menzahirkan keprihatinan terhadap saudara kita, Zaidi Zainal (ZZ) yang sedang menghadapi ujian besar dalam kehidupannya.

“Pada 8 Mei lalu Zaidi dimasukkan ke Hospital Kluang dan menjalani dialisis kecemasan. Untuk memastikan rawatan seterusnya berjalan lancar, pihak hospital telah mengambil tindakan segera dengan melakukan prosedur pada bahagian leher beliau bagi memulakan rawatan.

“Selepas keluar dari hospital, prosedur seterusnya akan dilakukan di tangan untuk dialisis berterusan,” tulisnya.

Bob mengajak semua komuniti yang menghargai sumbangan dan jasa Zaidi dalam dunia penyiaran, agar bersama-sama membantu memberikan bantuan kewangan serta mendoakan kesembuhan dan kesejahteraan Zaidi.

“Bantuan atau infaq boleh dibuat menerusi akaun Bank Simpanan Nasional Mohamed Zaidi Zainal 0712141000052124. Semoga Allah SWT mengurniakan kesihatan, kekuatan, dan keafiatan kepada beliau agar dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik.

“Kami amat menghargai segala bentuk bantuan, doa, dan sokongan daripada rakan-rakan semua. Semoga setiap sumbangan diberikan menjadi asbab kebaikan dan kesembuhan buat Zaidi,” katanya.

Zaidi yang berasal dari Rengit, Johor pernah mengendalikan program Santai Sinar bergandingan dengan Feeya Iskandar (kini penyampai Suria FM) dari jam 3 petang hingga jam 7 malam sebelum meninggalkan stesen terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top